Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland mengesahkan bahawa pemberi maklumat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Andre Xavier Justo kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

Seorang jurucakap OAG, ketika mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI berkata, "siasatan dijalankan susulan satu aduan rasmi yang telah dibuat oleh 'seseorang yang berkait rapat' dengan siasatan 1MDB".

Menurut OAG, pada 11 Disember 2017, terdapat 'seseorang yang berkait rapat dengan isu 1MDB' telah membuat aduan terhadap Justo kerana beliau mengesyaki bahawa Justo telah melanggar Perkara 273 Kanun Keseksaan negara itu.

Perkara 273 adalah berkenaan dengan isu Sabotaj Perindustrian.

Pihak OAG berkata pejabat itu telah membuka kertas siasatan terhadap Justo pada 19 September 2018, setelah meneliti kes aduan ini, sejajar dengan Perkara 309 Akta Siasatan Jenayah negara itu.

Sementara itu dalam reaksinya kepada Astro AWANI, Justo berkata siasatan itu adalah satu 'mainan politik' syarikat PetroSaudi menerusi dua pegawai kanannya, Tarek Obaid dan Patrick Mahoney untuk mengelirukan masyarakat.

"Ini adalah tindakan PR (Public Relations) syarikat PetroSaudi. Mereka inginkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap saya memandangkan mereka sendiri sedang disiasat kerana penglibatan mereka dalam kes 1MDB," katanya.

Kedua-dua Obaid dan Mahoney merupakan pegawai tertinggi PetroSaudi, yang secara langsung terlibat dalam siasatan 1MDB di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Justo juga menyatakan bahawa siasatan ini adalah isu lama.

"Aduan yang telah dibuat pada tahun 2017, baru sekarang dijadikan isu. Saya tidak akan gentar terhadap siasatan ini," kata Justo dalam laman Facebook beliau.

Pada tahun 2015, Justo telah memberikan maklumat kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tentang penglibatan beberapa individu dalam skandal 1MDB, termasuk Low Teck Jho, atau Jho Low.

Justo kemudiannya ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand, atas tuduhan menipu pihak berkuasa, sebelum dibebaskan beberapa bulan selepas itu.

Justo kini bebas, manakala Obaid dan Mahoney telah dikehendaki oleh pihak berkuasa beberapa negara, termasuk Malaysia.

Astro AWANI difahamkan bahawa kedua-dua mereka sedang disiasat oleh pihak berkuasa Switzerland, manakala lokasi Jho Low masih belum diketahui.

PetroSaudi sebelum ini menerusi peguamnya menafikan sebarang salah laku berkaitan usaha sama berkaitan 1MDB dan berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.



LIHAT: Penerangan isu ini di Rancangan Notepad with Ibrahim Sani

Di Switzerland, sekiranya terdapat suatu keadaan di mana wujud dakwaan kecurian maklumat oleh mana-mana pihak dari tempat perniagaan, ini mungkin menyebabkan seseorang itu boleh dikenakan tindakan undang-undang yang dikaitkan dengan Sabotaj Perniagaan.