Satu pasukan penyiasat baharu tragedi MH370 perlu ditubuhkan bagi meneliti data satelit, data radar serta data penerbangan yang masih diklasifikasikan sebagai sulit.

Penganalisis kejuruteraan penerbangan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata masih ada perkara yang perlu dipertimbangkan dan diteliti secara menyeluruh.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, penelitian baru akan membolehkan pasukan terbabit melihat dari perspektif yang berbeza.

"Data-data yang banyak itu, beribu-ribu data, apabila pasukan yang sama ulang-ulang tengok, mereka tak akan jumpa benda baru. Mereka sudah ada persepsi tertentu.

"Jadi, perlu diwujudkan pasukan yang lain pula, daripada anggota yang lain. Mereka tengok balik keadaan itu," kata Ahmad Samsuri kepada Astro AWANI pada Jumaat.


Menurutnya, antara misteri yang belum terjawab termasuk isu membabitkan perkara teknikal.

"Pada waktu hilang dari radar itu, aircraft monitoring system dipadamkan, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah, dengan butang banyak-banyak, bukan siapa-siapa sahaja boleh matikannya.

"Jadi, siapa yang buat kerja itu? Itulah yang menjadi tanda tanya," kata pakar aeroangkasa itu, memetik satu contoh.

Ahmad Samsuri yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom, juga pernah menjadi Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada Jumaat, Astro AWANI menyiarkan harapan Jacquita Gonzales, isteri bekas penyelia pesawat penerbangan Malaysia Airlines itu agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuka semula kes MH370 dan kembali menyambung pencarian pesawat itu.

Jacquita yang kehilangan suaminya, Patrick Gomez, masih menunggu pencerahan mengenai misteri tragedi MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal selepas lima tahun berlalu.