Skip to main content

Malaysia

Siasatan segera tragedi renjatan elektrik tiga anggota polis - Saifuddin Nasution

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) · Arahan siasatan segera secara menyeluruh dan telus dikeluarkan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Beaufort, Sabah semalam.
Dalam kejadian pada 5.50 petang semalam, tiga anggota polis disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi yang digunakan untuk mengait kelapa. - BERNAMA
Advertisement

KOTA KINABALU: Arahan siasatan segera secara menyeluruh dan telus dikeluarkan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Beaufort, Sabah semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebarang kelemahan yang dikesan perlu ditangani serta-merta selain melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota terlibat, iaitu Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Koperal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee. 

“Ketiga-tiga mereka telah mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara dan sesungguhnya pemergian ini kehilangan besar buat warga Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution mendoakan semoga Allah SWT memberi keluarga dan sahabat mereka ketabahan dalam menghadapi dugaan itu dan segala urusan dipermudah.

Dalam kejadian pada 5.50 petang semalam, tiga anggota itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement