MALAYSIA
Siasatan seleweng dana lebuh raya: Tan Sri sambung beri keterangan kepada SPRM hari ini

Kenderaan membawa pegawai SPRM dilihat memasuki kediaman individu berkenaan jam 8.45 pagi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Proses merakam keterangan individu bergelar Tan Sri yang dikaitkan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya bersambung hari ini.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, kenderaan toyota Vios berwarna putih membawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki kediaman individu berkenaan jam 8.45 pagi.
Dalam pada itu, salah satu pintu masuk kawasan kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu turut ditutup oleh polis bantuan sebuah syarikat.
Kon dan penghadang diletakkan di pintu masuk ke kawasan kediaman itu, dengan anggota polis bantuan yang berada di sana juga menghalang petugas media daripada menghampiri kawasan itu.Semalam, proses rakaman percakapan individu bergelar Tan Sri itu mengambil kira-kira enam jam bermula pada jam 9 pagi dan selesai pada jam 3.07 petang.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa pemegang konsesi lebuh raya berkenaan merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit.
Media sebelum ini juga melaporkan bahawa seramai 45 saksi yang telah memberikan keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan maklumat tambahan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami