Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dana projek-projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Sabah bukan bermotif politik atau bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dibuat bagi mengesan salah laku oleh beberapa individu yang mempunyai agenda peribadi.

Jelasnya, projek pembangunan milik Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya tercicir atau mengalami ketirisan dalam perjalanan kepada rakyat.

"Dalam hal ini, saya yakin kita cukup telus, bukan berunsur politik tetapi kita beri kebolehpercayan tinggi kepada SPRM terutama projek melibatkan kepentingan rakyat.

"Bukan tercicir di tengah perjalanan atau ketirisan oleh beberapa orang yang ada agenda tersendiri," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Dan Pegawai Kanan Asean Mengenai Pembangunan Luar Bandar Dan Pembasmian Kemiskinan di sini hari ini.

BACA: Pecah botol arak: Datuk, tujuh lelaki ditahan

TONTON:
Tiga termasuk pemimpin kanan ahli politik Sabah ditahan

Pada Khamis, SPRM membeku akaun bank bernilai RM29 juta dalam siasatan terbaharu mengenai penyelewangan dana dalam sebuah kementerian di Sabah selepas lebih RM150 juta wang tunai dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 buah lokasi di Sabah sejak kelmarin.

Semalam, Seorang pemimpin kanan parti politik Sabah antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki sebelum ini mengesahkan operasi sedang dijalankan tetapi tidak mendedahkan kementerian yang terlibat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghargai komitmen Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi melancarkan siasatan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Ahmad Zahid berkata, tindakan Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) pada Khamis mewakili pemimpin sebuah NGO.

"Kami tidak setuju dengan tindakan itu. Dia (Jamal) merupakan pengerusi sebuah NGO, dia salah seorang daripada 191 ketua bahagian. 190 ketua bahagian yang lain tak pecahkan apa-apa," katanya.

Pada pagi Jumaat, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan seorang yang bergelar Datuk dan tujuh lagi lelaki di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam berhubung insiden memecahkan botol arak di hadapan Bangunan SUK Selangor.