Skip to main content

Malaysia

Siasatan TH, FELDA perlu segera, telus dan tindakan berdasar fakta - Anwar

Foto Shahir
Anwar berkata, siasatan berhubung isu membabitkan TH dan FELDA perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap kelemahan dapat dikenal pasti sebelum tindakan susulan diambil. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap kelemahan dapat dikenal pasti sebelum tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu sebarang isu yang timbul terus berlarutan tanpa penyelesaian, sebaliknya setiap dapatan perlu diterjemahkan kepada usaha memperkukuh tadbir urus kedua-dua institusi berkenaan.

Menurut beliau, proses mengenal pasti masalah tidak boleh hanya bergantung kepada laporan yang diterima, sebaliknya pegawai bertanggungjawab perlu memahami sendiri keadaan sebenar di lapangan.

“Pertamanya, kita harus tahu sepenuhnya permasalaha. Kita harus tahu apa isu sebenar. Bukan sekadar melihat dari pejabat, tetapi memahami apa yang berlaku di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA 2026 di Bangi di sini, hari ini.

Anwar berkata, sebarang kelemahan dalam aspek pengurusan, pematuhan prosedur dan proses membuat keputusan perlu diteliti dengan serius supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan.

Katanya, pendekatan kerajaan bukan sekadar mencari kesalahan pihak tertentu, sebaliknya memastikan setiap kelemahan diperbetulkan bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Kalau ada masalah, kita mesti tahu masalahnya dan kita mesti ambil tindakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu legasi atau masalah lama sebagai alasan untuk menangguhkan tindakan terhadap perkara yang telah dikenal pasti.

Sebaliknya, katanya, setiap agensi perlu bergerak lebih pantas melaksanakan keputusan yang dipersetujui demi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Anwar berkata, kerajaan juga akan memastikan program yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu proses yang tidak diperlukan.

Beliau berkata, walaupun prestasi ekonomi negara terus menunjukkan perkembangan positif, kerajaan tetap memberi keutamaan kepada usaha menangani isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Semalam, Anwar turut menegaskan siasatan terhadap dakwaan salah laku yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH dan FELDA tidak bermotifkan politik.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan atau pendakwaan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa dan Peguam Negara.

“Kita tidak memilih berdasarkan siapa seseorang itu. Jika terdapat pelanggaran undang-undang atau salah laku, tindakan mesti diambil mengikut proses dan peruntukan undang-undang,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement