Sidang Kemuncak ASEAN: Orang ramai dinasihat patuhi undang-undang, rancang perjalanan

MOHD KHALID: PDRM ingin menasihatkan agar setiap pihak sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Ringkasan AI
- Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan mengelak sebarang provokasi sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt ini.
- PDRM telah mengambil langkah proaktif termasuk risikan, pemantauan dan penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi menjamin keselamatan optimum.
- Beliau turut mengingatkan masyarakat agar merancang perjalanan, bekerjasama dengan polis, serta melaporkan aktiviti mencurigakan bagi memastikan imej Malaysia kekal aman dan berdaulat.
"Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat tidak sahih atau perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegentaran awam," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata PDRM telah mengambil langkah proaktif termasuk risikan awal, pemantauan berterusan dan penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan optimum sepanjang tempoh sidang kemuncak itu berlangsung.
Mohd Khalid berkata persidangan itu merupakan acara berprestij yang menghimpunkan ketua-ketua negara di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama serantau dan memupuk persefahaman demi keamanan serta kemakmuran bersama.
"Sebagai tuan rumah, Malaysia amat berbangga serta bertanggungjawab memastikan kelancaran dan keselamatan persidangan ini," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan terutama di lokasi sekitar pusat persidangan, pusat bandar raya, Putrajaya dan laluan utama yang terlibat dengan kawalan trafik serta penutupan sementara.
"Gunakan aplikasi navigasi, rancang masa perjalanan lebih awal, dan berikan kerjasama penuh kepada anggota polis yang bertugas," katanya.
Mohd Khalid juga berkata masyarakat perlu sentiasa peka terhadap keselamatan diri serta persekitaran, dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa kerana keprihatinan dan kepekaan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara.
"Marilah kita bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dengan semangat perpaduan, patriotisme dan kepatuhan kepada undang-undang.
"Tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, berdaulat dan matang dalam menguruskan acara besar di peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami