NATIONAL
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China: Perkukuh kerjasama serantau dalam dunia multipolar - PM

ANWAR: Kita mesti memastikan bahawa model geo-ekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama dalam sejarah merupakan satu titik penting dalam landskap kerjasama serantau dan antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sidang ini bukan sahaja mempertemukan tiga blok utama dunia, malah mencerminkan tahap keyakinan dan saling kebergantungan yang semakin meningkat antara wilayah-wilayah ini.
“Saya percaya bahawa Sidang Kemuncak Trilateral ini merupakan manifestasi kejayaan dalam merangka semula matriks perkongsian yang sejajar dengan realiti dunia multipolar masa kini.
“Ia melambangkan kekuatan perpaduan blok-blok serantau yang sudah tentu akan membawa impak positif kepada dunia secara keseluruhan.“Kita mesti mempertahankan sistem multilateralisme dan memastikan bahawa model geo-ekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan, demi rantau dan rakyat kita,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan pembukaan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Selain itu, ujarnya, asas kepada kejayaan rantau ASEAN selama ini ialah sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan.
Tambahnya, keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini juga banyak bergantung kepada aliran bebas perdagangan, modal dan mobiliti manusia.
Namun, kata Anwar, asas-asas ini semakin terhakis akibat tekanan dan dasar perlindungan atau protectionism yang semakin meluas.
“Meskipun berdepan cabaran yang kompleks, ASEAN tetap optimis terhadap keupayaannya untuk bertahan dan bergerak ke hadapan.
“Prinsip kepusatan ASEAN dan keazaman untuk menentukan masa depan sendiri menjadi asas kepada daya tahan yang kukuh dalam menghadapi perubahan global,” tambah beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan sidang trilateral yang pertama kali diadakan antara tiga blok serantau utama melibatkan, ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara), GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan China.
Sidang ini menandakan langkah bersejarah dalam usaha mengukuhkan kerjasama antara Asia Tenggara, Timur Tengah dan China, tiga kawasan yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dan geopolitik global.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami