KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal mengadakan sidang media khas pada jam 9.00 pagi nanti (Jumaat).

Sidang media berkenaan yang bakal disiarkan secara langsung di saluran 501 Astro AWANI dan semua platform digital Astro AWANI bagaimanapun tidak memperincikan sama ada ia ada kaitan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Bagaimanapun, tiada tarikh tertentu dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan.

Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.