KUALA LUMPUR: Semua jenis Sijil Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Agensi Persekutuan akan dipaparkan menerusi Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard - AGD) bermula tahun ini untuk tujuan pemantauan.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata hal itu bagi memastikan agensi Persekutuan yang diaudit dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menambah baik penyediaan penyata kewangan mereka pada masa depan.

"Paparan melalui AGD ini menunjukkan kepentingan tatakelola yang baik melalui prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan keberkesanan dalam menangani penemuan audit," katanya menerusi Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Suraya berkata setakat 11 Jan lepas, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi 2022 telah dikemukakan untuk pengesahan Ketua Audit Negara dengan 130 penyata telah selesai pengauditan dan pensijilan.

Beliau berkata sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran manakala 14 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubah suai, iaitu 13 Pendapat Berteguran dan satu Pendapat Bertentangan.

Beliau berkata analisis penyata kewangan bagi menilai prestasi kewangan agensi Persekutuan telah dibuat terhadap lima perkara iaitu Lebihan dan Kekurangan Semasa, Aset dan Liabiliti, Geran Kerajaan Persekutuan, Pinjaman serta Pelaburan dalam Syarikat Subsidiari.

Untuk kali pertama, Wan Suraya berkata analisis terhadap syarikat subsidiari yang mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun bermula 2020 juga diketengahkan dalam laporan kali ini.

"Pelaporan Fokus Utama Audit yang diperkenalkan pada 2023 bagi pengauditan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 memberi penekanan terhadap perkara material dan signifikan yang memberi kesan kepada prestasi kedudukan kewangan agensi Persekutuan.

"Fokus Utama Audit bagi penyata kewangan 2022 adalah berkaitan isu usaha berterusan, penjejasan nilai pelaburan dan pembayaran dividen kepada pencarum. Ini sejajar dengan pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran agensi Persekutuan termasuk menangani isu ketirisan, pemborosan dan pembaziran," katanya.

Wan Suraya berkata semua agensi Persekutuan perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan polisi kewangan yang telah ditetapkan dan berkuat kuasa selain rekod perakaunan yang berkaitan perlu diselenggara dengan lengkap dan dikemas kini.

Pegawai terlibat katanya perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan serta pemahaman piawaian perakaunan manakala ketua agensi Persekutuan bertanggungjawab memastikan keseluruhan pengurusan kewangan agensi mereka teratur.

"Tindakan penambahbaikan dan pencegahan hendaklah diambil bagi mengelakkan kelemahan yang sama dibangkitkan pada masa hadapan agar agensi Persekutuan dapat melaksanakan fungsinya dengan baik, mencapai objektif penubuhan, berdaya maju dan memberi pulangan terbaik kepada pemegang taruh," katanya.

-- BERNAMA