Seramai 331 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2014.

Jumlah tersebut menyaksikan penurunan 0.8 peratus (38 calon), iaitu daripada 369 calon (6.3 peratus) pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, calon yang mendapat sijil iaitu dari pangkat Maqbul (Lulus) sehingga Mumtaz (Cemerlang) meningkat seramai 310 calon (2.9 peratus), daripada 3,513 calon (60.4 peratus) pada 2013 kepada 3,823 calon (63.3 peratus) pada 2014.

Calon yang memperoleh Jayyid Jiddan (Sangat Baik) pula meningkat 39 calon. Namun dari segi peratusan, ia menyaksikan penurunan 0.1 peratus iaitu 18.7 peratus berbanding 18.8 peratus pada 2013.

Sementara kumpulan calon peroleh pangkat Jayyid (Baik) dan Maqbul (Lulus) pula masing-masing turut meningkat 1.6 peratus (160 calon) dan 2.3 peratus (149 calon).

Calon yang tidak layak sijil STAM menurun seramai 91 calon (2.9 peratus) daripada 2,303 calon (39.6 peratus) pada tahun 2013 kepada 2,212 calon (36.7 peratus) pada tahun 2014.

Jumlah calon yang berjaya mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam kesemua sepuluh (10) mata pelajaran yang diduduki kekal seramai 34 calon seperti pada tahun 2013.

Namun dari segi peratusan, ia menurun sebanyak 0.02 peratus iaitu 0.58 pada 2013 kepada 0.56 peratus pada 2014.
Calon yang memperoleh gred minimum Maqbul (tidak termasuk Gred Mumtaz) meningkat 310 calon (2.96 peratus) daripada 3,479 calon (59.82 peratus) pada 2013 kepada 3,789 calon (62.78 peratus) pada 2014.

Bagaimanapun, berlaku penurunan kepada bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran yang diduduki (semua Gred Rasib) iaitu 31 calon (0.58 peratus), daripada 101 calon (1.74 peratus) kepada 70 calon (1.16 peratus).

Secara keseluruhan, pencapaian STAM 2014 adalah setanding berbanding keputusan 2013 dengan indeks Gred Purata Nasional (GPN) kedua-dua tahun tersebut adalah sama iaitu 3.20 mata.

Seramai 8,800 calon telah mendaftar untuk menduduki STAM 2014 berbanding 8,613 calon pada tahun sebelumnya, iaitu bertambah seramai 187 calon (2.2 peratus).

Daripada jumlah tersebut, 7,769 calon pelbagai kategori sekolah mendaftar sepuluh (10) mata pelajaran dan kali pertama menduduki STAM.

Analisis keputusan peperiksaan STAM itu berdasarkan calon yang menduduki sepuluh (10) mata pelajaran serta pertama kali menduduki STAM yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof di Kompleks Kementerian Pendidikan, Putrajaya.

STAM 2014 telah dilaksanakan dengan lancar di mana ujian lisan dijalankan pada 7 hingga 17 Julai 2014, sementara ujian bertulis pula dari 13 hingga 21 Oktober 2014.

Bagi calon persendirian, slip keputusan akan dihantar melalui pos oleh Jabatan Pendidikan Negeri berkaitan.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui sistem pesanan ringkas (my-s-m-s) serta melayari portal lembaga peperiksaan di alamat www.moe.gov.my/lp.