JUTAAN kenderaan bakal membanjiri jalan raya di musim perayaan ini apabila majoriti rakyat negara ini pulang ke kampung halaman meraikan Aidilfitri yang dinanti.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan bakal melalui Lebuh Raya Utara Selatan manakala lebih satu juta kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Peningkatan jumlah pengguna jalan raya yang drastik ini menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kemalangan jalan raya.
Perkara ini dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Keselamatan dan Biomekanik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ir. Dr Khairil Anwar Abu Kassim yang menjelaskan bahawa kadar pendedahan kenderaan antara satu sama lain adalah lebih tinggi dengan pertambahan kenderaan sekali gus menyebabkan kebarangkalian berlakunya pelanggaran.
Dalam mengatasi isu ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Op Selamat 15/2019 bermula pada 29 Mei hingga 12 Jun bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ bagi mengatasi isu pematuhan undang-undang lalu lintas, dalam masa yang sama mengurangkan kadar kemalangan.
Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) juga tidak ketinggalan dalam usaha menangani kadar kemalangan di musim perayaan dengan menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PDRM.
Kempen Kesedaran Kemalangan Hidupan Liar Kurang Ditonjolkan Musim Perayaan Ini
Di samping kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh pelbagai agensi, kempen kesedaran mengenai kemalangan melibatkan hidupan liar agak kurang ditonjolkan di musim perayaan kali ini, sedangkan ia merupakan isu serius yang bukan hanya menjadi salah satu ancaman pada populasi hidupan liar di negara ini tetapi juga menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
Kempen kesedaran yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di media sosial baru-baru ini merupakan inisiatif yang baik dan perlu disebarluaskan kepada masyarakat umum.
Pesanan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dengan gaya bersahaja tetapi diiringi dengan mesej yang penting mengenai kemalangan hidupan liar amat relevan dengan kerencaman pengguna media sosial dan jalan raya dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Namun begitu, mesej kesedaran ini kurang ditonjolkan oleh media-media utama untuk mendidik masyarakat. Ini berbeza jika kemalangan berlaku dengan unsur-unsur yang sensasi maka liputan mengenai peristiwa tersebut pastinya direbut oleh setiap wakil media.
Ancaman dan Kesan Berantai Penurunan Populasi Hidupan Liar
Jabatan Perhilitan melaporkan bahawa sepanjang 2012 hingga 2017, 2,444 ekor dari 36 spesies hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) telah terkorban di dalam tragedi berdarah ini, antaranya tapir, beruang, gajah, harimau kumbang, harimau belang dan kambing gurun.
Oleh itu, penerangan mengenai isu kemalangan melibatkan hidupan liar ini perlu dibuat secara berterusan kerana ia merupakan satu usaha untuk mendidik persepsi masyarakat yang sering berubah.
Perhilitan juga telah melaporkan bahawa data inventori mereka pada tahun 2018 menunjukkan jumlah populasi hidupan liar yang amat membimbangkan.
Perhilitan melaporkan hanya 250-340 ekor harimau belang, 700-800 ekor tapir, 300-500 ekor beruang, 150-200 ekor seladang, 2000-2500 ekor kijang, 700-1000 rusa sambar dan 1220-1680 ekor gajah yang bertaburan di Semenanjung Malaysia.
Jika dilihat jumlah populasi haiwan ini, dan dilihat pada statistik kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar, maka mudah untuk dihadam bahawa kemalangan merupakan salah satu ancaman kepada hidupan liar.
Sebagai contoh, pada tahun 2017 sahaja sebanyak 22 kes kematian melibatkan Tapir Malaya telah dicatatkan dengan negeri Johor mencatatkan kematian tertinggi diikuti negeri Pahang.
Di dalam cabaran mendepani kepupusan yang melampau, angka yang dilaporkan ini bukanlah angka yang kecil dan boleh dipandang enteng.
Penurunan populasi hidupan liar yang membimbangkan disebabkan ancaman kemusnahan habitat, pemburuan haram sekarang ditambah dengan konflik kemalangan jalan raya perlu di titikberatkan oleh semua pemegang taruh.
Lebih menyedihkan haiwan mamalia besar yang terlibat di dalam kemalangan jalan raya ini dinodai oleh pengguna jalan raya yang lain dengan mencuri kulit, daging, tulang dan organ dalaman haiwan ini sebelum ketibaan Jabatan Perhilitan.
Jika ini berlaku, peristiwa kematian hidupan liar di dalam kemalangan jalan raya yang sepatutnya menyedihkan masyarakat sebaliknya bertukar menjadi majlis kesyukuran kerana mereka berjaya mendapatkan cenderahati eksotik dari haiwan yang mati ini.
Sikap Pemandu Kunci Utama Penyelesaian
Pemasangan papan tanda amaran kawasan lintasan hidupan liar, penggunaan teknologi pencahayaan amber-light, pembinaan jambatan ekologi dan terowong khas bagi lintasan hidupan liar di lebuh raya antara sebahagian daripada puluhan inisiatif dan komitmen pemegang taruh seperti Perhilitan dalam menangani isu ini.
Penulis tidak ingin membangkitkan soal faktor pembinaan jalan raya yang menyebabkan fragmentasi atau inisiatif-inisiatif yang didakwa sebagai tidak berkesan kerana kemalangan melibatkan hidupan liar masih lagi berlaku.
Ya perkara-perkara ini masih boleh didebatkan dan dibincangkan kerana sudah pasti ada kelemahan dan kelebihan dalam pelaksanaan sesuatu polisi. Mungkin di dalam penulisan yang lain boleh kita fahami perkara-perkara ini.
Tapi yang lebih utama yang ingin penulis tekankan disini ialah sikap pemandu dan pengguna jalan raya.
Penulis pernah terlibat di dalam satu perbincangan mengenai isu ini dan puluhan idea diberikan untuk menyelesaikan isu kemalangan di kawasan titik panas lintasan hidupan liar.
Antara idea yang menarik ialah memasang pembesar suara dengan suara harimau atau gajah untuk memeranjatkan pemandu, memasang lampu LED yang khas untuk mengelakkan hidupan liar melintas dan menjauhi kawasan lebuhraya, mengintegrasikan kawasan amaran titik panas ke dalam aplikasi peta jalan raya seperti Waze dan Google Map seperti amaran kamera AES dan lain-lain.
Selepas agak lama berbincang, seorang peserta bangun dan menyatakan “kempen selamatkan nyawa pemandu sendiri masih lagi belum berjaya sepenuhnya disebabkan sikap pengguna jalan raya yang masih lagi memandu dengan tidak bertanggungjawab dan melanggar peraturan lalu lintas, mereka nak dengar nasihat mengenai kemalangan hidupan liar?”
Ya, benar sekali! Saban tahun pelbagai kempen dijalankan menjelang musim perayaan, tetapi masih ada sikap pengguna yang tidak mahu berubah. Tetapi adakah ini dijadikan asbab untuk menghentikan semua kempen keselamatan jalan raya?
Tidak! Malah kempen ini dipergiatkan dan dijadikan KPI untuk sebahagian agensi untuk memastikan statistik menurun!
Sama juga seperti kesedaran kemalangan hidupan liar. Walaupun kemalangan itu tetap akan berlaku disebabkan faktor kawasan titik panas, kelakuan haiwan ataupun sikap pemandu sendiri, kempen ini tidak boleh terhenti dan suam dari dibincangkan masyarakat.
Kempen kesedaran ini mesti mendidik pengguna jalan raya dan pemandu khususnya untuk tidak memandu di dalam keadaan yang mengantuk, mengelakkan memandu pada waktu malam atau awal pagi di kawasan titik panas lintasan hidupan liar, menitikberatkan kewujudan papan tanda amaran kawasan lintasan hidupan liar dan mengurangkan kelajuan di kawasan ini.
Marilah sama-sama kita menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan Tuhan kepada kita untuk memandu dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan juga hidupan liar yang hidup terancam di sekeliling kita.
Tanggungjawab kita ialah untuk membuat persediaan sebaiknya dan mengikut garis panduan yang diberikan oleh PDRM, LLM, KKR, PLUS dan Perhilitan.
Jika kemalangan berlaku setelah kita memenuhi semua ini, maka usah panik dan lari meninggalkan kawasan tersebut, sebaliknya laporkanlah pada agensi yang berkaitan seperti PDRM jika melibatkan pengguna jalan raya yang lain dan terus ke Hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 jika melibatkan hidupan liar.
Penulis ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar
Tue Jun 04 2019
Tapir Malaya (Tapirus indicus) yang mati di dalam kemalangan jalan raya di Kelantan beberapa tahun lepas. - Gambar Sumber APM
'Saya akan berjuang bersama rakyat sehingga akhir' - Presiden Yoon
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berkata akan berjuang sehingga akhir demi mempertahankan demokrasi dan perlembagaan Korea bersama rakyat.
PAC mula prosiding lima isu baharu pada sidang Dewan Rakyat akan datang
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan prosiding lima isu baharu pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
[INFOGRAFIK] Banjir: Enam Jenis Penyakit Bawaan Air
Berikut adalah info berkenaan dengan enam jenis penyakit bawaan air dimusim banjir.
Subsidi tiket penerbangan boleh ditebus Januari 2025 - Anthony Loke
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mahasiswa boleh mohon subsidi tiket penerbangan seawal Januari untuk digunakan sepanjang tahun dan bernilai RM499 sehala.
#AWANInews
#AWANInews
RUU Majlis Media Malaysia 2024 dibentang bacaan kali pertama di Dewan Rakyat
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bagi mengadakan peruntukan untuk penubuhan perbadanan bebas dikenali Majlis Media Malaysia.
'Jel tujuh tahun, dua sebatan, denda RM10 juta melampau' - Syed Saddiq
Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
[TERKINI] Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke nafi kenyataan Tun M
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan keputusan tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri secara bertulis.
AWANI Ringkas: Amaran hujan tahap waspada sehingga Jumaat
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
RUU Majlis Media Malaysia dibentang di Dewan Rakyat
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat akan datang.
KDN manfaatkan kuarters kosong KPM tempatkan anggota PDRM
Kementerian Dalam Negeri akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia di kuarters milik Kementerian Pendidikan yang kosong.
Sikap pemandu dan kadar kematian hidupan liar di musim perayaan
Peristiwa kematian hidupan liar di dalam kemalangan jalan raya yang sepatutnya menyedihkan masyarakat