Simpanan haji perlu jadi keutamaan jangka panjang - Pakar ekonomi

Simpanan untuk haji perlu dilihat sebagai perancangan jangka panjang yang memerlukan disiplin dan persediaan kerohanian, bukan hanya matlamat kewangan akhir. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Simpanan untuk haji seharusnya tidak dilihat sebagai matlamat kewangan saat akhir sebaliknya satu perancangan jangka panjang yang menuntut disiplin dan persediaan kerohanian.
Ringkasan AI
- Simpanan untuk haji perlu dilihat sebagai perancangan jangka panjang yang memerlukan disiplin dan persediaan kerohanian, bukan hanya matlamat kewangan akhir.
- Memulakan simpanan haji seawal mungkin dengan menyisihkan serendah lima peratus daripada pendapatan bulanan boleh membantu individu membina asas simpanan yang bererti untuk masa depan.
- Merangka simpanan haji sebagai perjalanan hidup bukan sekadar matlamat kewangan, tetapi juga membantu individu komited dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, sambil menawarkan jaminan patuh syariah dan prinsip kesederhanaan.
"Dalam keadaan inflasi, simpanan haji perlu berterusan dan ditunjangi disiplin yang kuat. Golongan muda seharusnya mula menyimpan sejak awal kerjaya mereka lagi dan konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata memperuntukkan serendah lima peratus daripada pendapatan bersih bulanan mereka sudah mampu membina asas simpanan yang bermakna untuk jangka masa panjang.
"Sebagai contoh, dengan gaji permulaan RM3,000 mereka boleh simpan lima peratus atau RM150 sebulan. Jika peluang untuk menunaikan haji tiba 20 tahun kemudian, mereka sudah ada simpanan sebanyak RM36,000 itu pun tanpa mengambil kira dividen atau penambahan lain.
"Jadi, dengan purata dividen Tabung Haji sekitar 3.0 peratus, jumlah simpanan tersebut boleh mencecah hingga RM51,000," katanya.
Dari perspektif ekonomi dan kewangan Islam, Nik Maheran berkata memulakan simpanan lebih awal merupakan langkah terbaik, termasuk bagi mereka yang berpendapatan sederhana atau tidak stabil, kerana faktor masa mampu membantu mengurangkan tekanan kos pada masa hadapan.
Beliau menambah dalam Islam, konsep "istita'ah" atau kemampuan menunaikan haji merupakan satu perjalanan yang memerlukan perancangan dan usaha berterusan.
"Simpan dari awal dapat mengurangkan beban kewangan pada masa depan dan membantu dari segi memperkukuh kemampuan. Dalam kerangka "Maqasid Syariah", simpanan sedemikian merupakan satu bentuk sokongan dalam menjaga agama dan harta," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Perakaunan dan Percukaian Universiti Antarabangsa Al-Madinah Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata merangka simpanan haji sebagai satu perjalanan hidup dan bukan matlamat kewangan semata-mata, dapat membantu golongan muda terus komited, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Beliau berkata dengan menetapkan niat menunaikan haji dalam tempoh 10-20 tahun lagi sebagai azam tahun baharu, membantu individu itu untuk lebih bersedia dari segi kewangan, mental dan kerohanian.
"Haji tidak harus dilihat sebagai projek kewangan untuk sekali sahaja sebaliknya ia adalah perjalanan seumur hidup untuk menyucikan diri dan pengurusan rezeki secara bertanggungjawab," katanya.
Dari sudut kewangan Islam, Barjoyai berkata kerangka simpanan patuh syariah menawarkan bukan sahaja jaminan dari segi etika tetapi juga prinsip kesederhanaan (wasatiyyah).
"Prinsip ini menekankan perkara seperti bebas daripada unsur riba, kebergantungan kepada aset produktif, keadilan dan amanah," katanya sambil menambah membuat pinjaman semata-mata untuk menunaikan haji patut dielakkan, selain keperluan keluarga dan tanggungjawab asas hendaklah diutamakan.
"Mengurangkan perbelanjaan impulsif dan mengamalkan gaya hidup sederhana membantu individu melindungi kestabilan kewangan dan membolehkan mereka fokus kepada kerohanian," katanya.
Beliau juga menekankan peranan rutin kerohanian dan memperkukuh disiplin kewangan, dengan mencadangkan semakan simpanan secara berkala serta amalan sedekah dan pemperbaharui niat.
Beliau berkata bulan Ramadan dan Zulhijjah, merupakan tempoh terbaik untuk menilai semula komitmen simpanan dan menyusun semula keutamaan kewangan mereka.
"Menyimpan secara konsisten dalam jangka panjang bukan didorong oleh kewangan semata-mata tetapi juga mental dan kerohanian. Ini termasuk memperbaharui niat dengan menjadikan setiap ringgit yang disimpan sebagai iltizam untuk selangkah ke Tanah Suci, dan membina komuniti kecil untuk saling memberi sokongan serta galakan," katanya
Prinsip tersebut berjaya diterjemahkan seorang ahli farmasi, Nur Azra Pauzi, 42, yang mula menyimpan walaupun ketika itu beliau belum mempunyai rancangan khusus untuk menunaikan haji.
Beliau membuka akaun Tabung Haji pada usia 25 tahun dan melakukan potongan gaji secara automatik, yang kemudian membantunya kekal konsisten walaupun berdepan perbelanjaan tidak dijangka seperti ketika anak dimasukkan ke hospital dan membaiki kereta yang rosak.
"Sejujurnya, saya mula menyimpan bukan kerana untuk menunaikan haji pada waktu itu tetapi kerana ia mudah dan selamat, namun jauh di sudut hati memang saya mahu menunaikan haji pada usia muda iaitu ketika masih sihat," kata ibu kepada dua anak itu.
Nur Azra berpeluang mengerjakan haji pada 2023.
"Mengerjakan haji pada usia masih muda membuatkan saya sedar betapa besar pengorbanan yang dilakukan...tetapi ia benar-benar berbaloi," katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Mengapakah simpanan untuk haji seharusnya dijadikan sebagai azam tahun baharu? A: Simpanan untuk haji perlu dijadikan azam tahun baharu kerana ia memerlukan perancangan jangka panjang yang mengutamakan disiplin dan konsisten, serta membantu mengurangkan tekanan kos pada masa hadapan.
- Q: Berapakah jumlah purata dividen Tabung Haji dan bagaimanakah ia memberi impak kepada simpanan haji? A: Purata dividen Tabung Haji adalah sekitar 3.0 peratus dan ia membantu meningkatkan jumlah simpanan haji, contohnya simpanan sebanyak RM36,000 boleh mencecah hingga RM51,000 dengan dividen tersebut.
- Q: Mengapakah penting untuk memulakan simpanan haji lebih awal menurut perspektif ekonomi dan kewangan Islam? A: Memulakan simpanan haji lebih awal penting kerana dalam Islam, konsep "istita'ah" atau kemampuan menunaikan haji memerlukan perancangan dan usaha berterusan, serta membantu dalam menjaga agama dan harta dari segi Maqasid Syariah.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

