BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket mencuri motosikal di Seberang Perai Tengah (SPT) selepas menahan 21 individu termasuk dua wanita dalam beberapa siri tangkapan di Pulau Pinang dan Kedah.

Sindiket yang didalangi lima geng jenayah iaitu Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong itu dipercayai aktif melakukan jenayah mencuri motosikal sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, 21 tangkapan  terbabit terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita berusia antara 14 tahun hingga 37 tahun.

Mereka ditahan di sekitar kawasan Kupang, Baling dan Sik di Kedah, di Junjong, Juru, Bukit Tengah dan Seberang Perai Utara dalam operasi yang diadakan bermula 18 Mei hingga 1 Jun lepas.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal.

Terdahulu Shafee berkata, sebanyak 37 buah motosikal telah dilaporkan hilang dalam daerah SPT antara April hingga Mei lalu.

"Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis percaya beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Shafee berkata, siasatan mendapati sebahagian tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah seperti kes curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen  379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun, dan tidak lebih tujuh tahun, serta denda.