Skip to main content

Malaysia

Sindiket dadah didalangi ‘Datuk’ tumpas, rampasan RM136.27 juta — PDRM

TB_JSJN OP GAURUS_AWANI
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan luar biasa itu adalah hasil dua fasa operasi khas, iaitu Op Gaurus dan Op Horitus, yang dilaksanakan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Johor baru-baru ini. - Foto AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini menerusi rampasan dan sitaan bernilai anggaran keseluruhan RM136.27 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata kejayaan itu hasil dua fasa operasi khas, iaitu Op Gaurus dan Op Horitus, yang dilaksanakan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Johor baru-baru ini.

Beliau berkata, Op Gaurus yang dijalankan bermula 17 hingga 21 Jun di Perak melibatkan 304 serbuan dengan tangkapan seramai 291 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam Op Gaurus, JSJN bukan sahaja melumpuhkan rangkaian pengedaran, malah berjaya menumpaskan satu sindiket utama yang didalangi oleh seorang lelaki bergelar 'Datuk' berusia 40-an.

"Suspek dipercayai mengetuai sindiket di Lembah Klang, Perak dan Johor serta mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.

"Turut disita adalah pelbagai kenderaan mewah termasuk Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz serta jam tangan berjenama Rolex dan Bonia," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menyentuh mengenai Op Horitus yang dijalankan di sekitar Lembah Klang pada 20 Jun, beliau menjelaskan, rampasan merupakan yang terbesar melibatkan makmal memproses dan stor penyimpanan dadah di kawasan perindustrian terbiar di Cheras.

"Menerusi Op Horitus, pihak polis merampas sejumlah besar dadah jenis MDMA dalam bentuk serbuk dan cecair (760 liter) serta pil Ekstasi seberat 97.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM135.63 juta.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak November 2025. Tujuh suspek termasuk seorang Wanita warganegara asing ditahan dalam operasi ini.

"Sindiket ini dikesan menggunakan premis perindustrian terbiar untuk memproses dadah bagi pasaran tempatan," katanya.

Tambah beliau, modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bahan-bahan precursor untuk memproses dadah ekstasi bagi pasaran tempatan.

Sementara itu, beliau menegaskan, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. 

 

Must Watch Video

Advertisement