PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi penuntut kolej swasta warga asing menerusi beberapa serbuan di Shah Alam dan Petaling Jaya minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata menerusi serbuan itu, lima penuntut warga asing dari negara Timur Tengah yang belajar di kolej swasta di sekitar ibu kota dan seorang penganggur warga tempatan, berumur antara 20 hingga 34 tahun, telah ditahan.

Beliau berkata dalam serbuan pertama kira-kira 6.30 petang Khamis lepas, dua suspek ditahan di lobi sebuah pangsapuri di Sungai Way di sini, yang membawa kepada penahanan dua lagi suspek di sebuah rumah di pangsapuri yang sama.

"Dua suspek lagi ditahan pada Jumaat lepas di tepi jalan Persiaran Golf, Shah Alam kira-kira 6.15 petang susulan penahanan pertama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja seberat 11.5 kilogram bernilai RM34,731.

"Pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain tiga kereta yang digunakan untuk kegiatan ini sebagai bahan bukti," kata Mohamad Fakhruddin.

Beliau berkata sindiket itu menyasarkan penuntut kolej warga asing di sekitar Sungai Way dan Damansara sebagai pelanggan dan semua bayaran dibuat secara tunai atau transaksi secara bersemuka bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Mohamad Fakhruddin berkata dadah berkenaan dijual dalam peket kecil bernilai RM100 untuk tiga gram kepada pelanggan tempatan atau rakan kolej warga asing.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan hingga setahun dan bekalan ganja diperoleh daripada seorang individu warga asing lain sebelum diproses dan dibungkus.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah," katanya.

-- BERNAMA