AYER KEROH: Padah menawarkan peluang pekerjaan tidak wujud, sepasang kekasih warga tempatan antara tujuh individu yang terlibat dengan sindiket 'keldai akaun', dicekup pihak polis.
 
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas beberapa siri serbuan dalam operasi akaun palsu dilakukan Melaka dan Selangor pada 4 dan 5 Januari lalu.
 
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sindiket terbabit dikatakan mengiklankan peluang pekerjaan di media sosial sebelum meminta pemohon  menyerahkan kad mesin automatik, (ATM) dan nombor pin masing-masing.
 

“Setelah dia menawarkan peluang pekerjaan dia juga meminta kad ATM dan pin nombor. Daripada situ dia meminta orang yang ditawarkan pekerjaan tadi supaya mencari lain-lain kawan-kawan dia yang boleh memberi kad ATM dan juga pin nombor.

“Kad ATM dan pin nombor yang diberi ini bertujuan untuk akaun palsu ‘mule accountakaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian online,” katanya.
 
Beliau bercakap kepada media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang hari ini.
 
Tambah Abdul Majid, serbuan di Alor Gajah, Seri Kembangan, Kepong dan Kajang pada 4 dan 5 Januari lalu dilancarkan susulan laporan seorang tukang kebun berusia 30 tahun dan lima rakannya yang menjadi mangsa penipuan selepas menyerahkan kad ATM berserta nombor pin kepada sindiket terbabit pada 3 Januari lalu.
 
Dalam serbuan di empat lokasi terbabit ujarnya, sebanyak 58 kad ATM pelbagai bank, telefon bimbit dan sejumlah mata wang asing dirampas.
 
Polis jelasnya turut memburu dalang sindiket terbabit yang dipercayai seorang warga asing.
 
Beliau percaya sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan sejak awal tahun lalu dengan mencari mangsa untuk dijadikan sebagai keldai akaun bagi membolehkan kegiatan penipuan dijalankan.
 
Dengan tumpasnya sindiket terbabit, polis berjaya menyelesaikan 36 kes penipuan di atas talian termasuk tiga di Melaka dengan kerugian sebanyak RM466,380.
 
Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
 
Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.
 
Kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita termasuk seorang wanita warganegara Vietnam berusia  21 hingga 40 tahun itu ditahan reman selama lapan hari bermula 4 Januari lalu.