Skip to main content

Malaysia

Sindiket sasar orang awam jadi keldai dadah ke Eropah - Polis

71726060523_HeathrowAirport.jpg
Kebanyakan kes penyeludupan dadah ke Eropah melalui laluan udara membabitkan bunga ganja berikutan permintaan tinggi terhadapnya. - Gambar hiasan
Advertisement

BACHOK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kegiatan membawa dadah ke Eropah melalui pengangkutan udara banyak melibatkan orang awam yang dipergunakan sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kebanyakan kes penyeludupan dadah ke Eropah melalui laluan udara membabitkan bunga ganja berikutan permintaan tinggi terhadap bahan terlarang itu di pasaran berkenaan.

“Rakyat kita kena faham, bukan mudah orang nak tawarkan jumlah yang besar untuk membayar tiket, pakej percutian dan sebagainya. Jadi, jangan terperangkap dalam sindiket ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata orang ramai perlu berwaspada terhadap tawaran sindiket yang mengemukakan bayaran lumayan termasuk membiayai tiket penerbangan, pakej percutian atau meminta mereka membawa bagasi tertentu ke luar negara.

Berhubung kes pembantu juruterbang yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah pada Julai lepas, Hussein berkata pembantu juruterbang terbabit tidak menjadi pengangkut dadah ke Eropah.

“Setakat yang kita tahu, dia (pembantu juruterbang) (membawa bahan terlarang itu) ke Australia dan Indonesia, bukan Eropah. Untuk Eropah, kebanyakannya melibatkan keldai dadah dalam kalangan orang awam,” katanya.

Hussein berkata sindiket penyeludupan dadah juga semakin licik dengan mengambil kesempatan terhadap pelbagai laluan termasuk laut dan darat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Semalam, Bernama melaporkan PDRM menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penahanan pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta, Indonesia yang berkaitan dengan dadah pada Julai lepas.

Pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Polis Republik Indonesia (POLRI) menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan dadah jenis methamphetamine, bernilai kira-kira RM45 juta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement