KUALA LUMPUR: Perkataan sindiran “anak papa” diungkapkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mencetuskan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kekecohan itu bermula apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bertanya mengapa usul yang dibawa beliau pada Selasa tidak dibahaskan, sedangkan usul Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang dibawa pada Rabu dibahaskan.

Perkataan “anak papa” itu kemudian membuatkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun meminta Awang untuk menarik balik kenyataan tersebut.

"Siapa yang buat tuduhan anak papa itu, berani bangun," kata Rayer.

Mohammed Taufiq turut meminta Awang untuk tarik balik.

"Saya mahu Pendang tarik balik," kata Mohammed Taufiq.

Awang bangun menjelaskan: "Saya nak tanya anak siapa? kalau bukan anak papa?

"Konflik kepentingan akan berlaku, saya pun anak papa, dia (Mohammed Taufiq) nak terasa mengapa.

"Kalau bukan, tidak ada kena mengena dengan dia, tidak perlu sebut," jelas Awang lagi.

Pertikaman lidah selama 15 minit itu mengakibatkan Awang kemudian diarahkan keluar oleh Timbalan Speaker, Alice Lau setelah arahan untuk menarik balik perkara itu tidak diendahkan Awang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudian bangun mencelah dengan berkata kenyataan Awang tidak salah.

"Tidak salah kalau kita katakan oleh kerana anak bapalah ada konflik kepentingan sebab itu dia (Johari) bagi Timbalan Speaker yang bercakap.

"Untuk tidak mengaku anak bapa... Itu benar ada konflik kepentingan yang menyebabkan Timbalan Speaker yang terpaksa buat keputusan tersebut, yang tidak mengaku anak bapa ini kenapa?," katanya.

Kekecohan itu berlaku selepas Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa Mohammed Taufiq berkaitan isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan dibahaskan di Parlimen.