Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sultan Perak berkenan lepaskan 1,500 peserta larian KKD Moves 2026

KUALA LUMPUR, 27 Sept - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke program KKD Moves 26 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh (enam, kanan), Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman (tiga, kanan) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh (tujuh, kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke program KKD Moves 26 di Dataran DBKL. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke acara larian KKD Moves 2026 anjuran Kor Kesihatan Diraja (KKD) Tentera Darat Malaysia (TDM) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Baginda berdua turut berkenan melepaskan kira-kira 1,500 peserta larian sejauh lima kilometer itu pada 7.40 pagi.

TDM dalam kenyataan memaklumkan KKD Moves 2026 diadakan bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun ke-59 Kor Kesihatan Diraja, di samping menjadi platform menghimpunkan elemen kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan warga TDM bersama-sama masyarakat.

Menurutnya, program berkenaan juga bertujuan memperkenalkan peranan KKD kepada masyarakat, membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga TDM dan memperkukuh hubungan strategik antara TDM dengan agensi kerajaan lain.

"KKD Moves membawa mesej bahawa kesihatan dan kecergasan merupakan sebahagian daripada pembudayaan hidup aktif, di samping menyokong kesiapsiagaan warga TDM," menurut kenyataan itu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Peserta program itu terdiri daripada 200 pegawai dan 650 anggota TDM serta 650 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan serta orang awam.

Sultan Nazrin yang juga Kolonel Yang DiPertua KKD dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pelbagai reruai berkaitan KKD yang diadakan bersempena dengan program larian itu, termasuk pameran Hospital Medan ATM.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement