Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Pearly-Thinaah teruskan misi emas

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Beregu wanita nombor satu negara teruskan misi emas -- stadiumastro
Pasangan negara itu berjaya melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas gandingan yang berada di ranking 26 dunia kepada 7-2.
Advertisement

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, menepati ramalan mara ke separuh akhir apabila cemerlang menewaskan pasangan beregu dari India, Treesa Jolly-Gopichand Pullela, 21-18, 21-9 dalam aksi yang berlangsung selama 40 minit, hari ini.

Pasangan negara itu berjaya melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas gandingan yang berada di ranking 26 dunia kepada 7-2.

Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling mengutip mata sehinggalah wakil negara berjaya menjarakkan diri pada mata 20-16. Pasangan lawan yang cuba bangkit dengan mengutip dua mata tidak menjejaskan fokus gandingan negara apabila berjaya menamatkan set pertama dengan mata 21-18.

Pearly Tan-M. Thinaah menampilkan corak permainan yang lebih agresif pada set kedua sehingga berjaya mengutip sembilan mata berturut-turut meskipun ketinggalan tiga mata pada awal set kedua. Pasangan negara langsung tidak menoleh ke belakang lagi dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-9.

Kemenangan ini meletakkan pasangan beregu negara sekurang-kurangnya bakal memperoleh pingat gangsa setelah berjaya mara ke peringkat separuh akhir, sekali gus mengulangi rekod Sukan Asia 2014 di Incheon yang dirangkul oleh Vivian Hoo-Woon Khe Wei.  

Pearly-Thinaah juga membaiki rekod Sukan Asia mereka berbanding edisi empat tahun lalu setelah tewas di peringkat suku akhir.

Saingan separuh akhir yang bakal dijadualkan pada esok menyaksikan pasangan beregu negara yang berada di ranking lima dunia itu bakal bertemu dengan pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning. - Stadium Astro

Must Watch Video

Advertisement