ISKANDAR PUTERI: Sireh Park di Iskandar Puteri menjadi daya tarikan terbaru bagi sektor pelancongan di Johor.

Taman rekreasi berkeluasan 343 ekar itu menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik termasuk rekreasi, berbasikal dan memancing selain aktiviti berkayak yang terbaru diperkenalkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Santhara J.P berkata, ia menjadi hasrat pihaknya dalam mengembangkan potensi Sireh Park sebagai salah satu taman hijau yang termegah di Malaysia.

Jelas beliau, usaha itu mampu direalisasikan menerusi inisiatif "Green Tourism" yang dilancarkan bagi membangunkan kawasan ekopelancongan secara mampan di negeri itu.

"Dengan adanya taman seluas 340 ekar ini memberikan imej terbaik dan disusuli juga 'urban development' yang dirancang dengan begitu baik.

"Saya yakin taman ini akan jadi sama hebatnya dengan taman-taman di negara Eropah, kita mempunyai banyak pokok-pokok yang berbeza tak termasuk burung-burung, serta haiwan tempatan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran "Green Tourism" di Sireh Park, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Jelasnya, gagasan Green Tourism itu berkonsepkan memelihara kelangsungan alam semula jadi dengan mewujudkan pusat pelancongan mesra alam.

Dalam pada itu, penasihat Sireh Park, Nor Hisham Hussien berkata, taman rekreasi itu mampu menawarkan keunikannya yang tersendiri, apatah lagi ianya dibangunkan di kawasan bandar raya.

"Sireh Park bagi kelainan sikit contohnya kebanyakan tempat rekreasi lain mungkin ada batasan kita, tak boleh berkhemah dan tak boleh memancing, tetapi di sini kita ada kemudahan yang boleh digunakan orang ramai.

"Beberapa kolam memancing ini juga dibuka kepada orang ramai," katanya.

Katanya, aktiviti berbasikal lasak dengan trek sejauh 8 kilometer merupakan antara prasarana unik yang disediakan di Sireh Park

Di samping itu, aktiviti berkayak di tasik semulajadi seluas 25 hektar turut menjadi tumpuan utama pengunjung.

Jelas beliau, sebanyak 13,000 ekor anak ikan lampam telah dilepaskan di tasik berkenaan menerusi kerjasama dengan Jabatan Perikanan sebagai usaha menghidupkan ekosistem di kawasan itu.