Skip to main content

Malaysia

Siri gempa bumi bukan petanda bencana lebih dahsyat bakal berlaku - Pakar

In this photo released by the Indonesian National Search and Rescue Agency (BASARNAS), rescuers search for victims at a damaged building following an earthquake in Maumere, East Nusa Tenggara Province, Indonesia, Saturday, Aug. 15, 2026. (BASARNAS via AP)
Pada awal pagi Sabtu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Flores menyebabkan sekurang-kurangnya 53 orang maut, dengan ratusan rumah dan kemudahan awam mengalami kerosakan. - Gambar fail/ AP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa siri gempa bumi yang berlaku merupakan petanda kepada bencana yang lebih dahsyat tidak boleh disahkan secara saintifik, kata Profesor Kejuruteraan Gempa Bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Azlan Adnan.

Beliau berkata tanggapan sedemikian sering timbul apabila sesuatu gempa bumi besar berlaku dan diikuti beberapa kejadian gempa lain di lokasi berbeza, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, menurut beliau, sains pada masa ini masih belum mampu meramal kejadian gempa bumi seperti ramalan cuaca.

“Ramai yang mendakwa gempa bumi besar merupakan petanda akan berlaku bencana yang lebih dahsyat. Apabila kita melihat satu gempa bumi besar berlaku dan kemudian beberapa gempa bumi lain berlaku di lokasi berbeza, kita cenderung berfikir adakah ini petanda sesuatu yang lebih besar akan berlaku.

“Namun jawapan saintifiknya ialah kita tidak boleh membuat kesimpulan sedemikian. Gempa bumi tidak boleh diramal seperti cuaca,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau mengulas kebimbangan yang timbul susulan siri gempa bumi yang berlaku di beberapa wilayah Indonesia termasuk Flores, Sumatera dan Sulawesi sejak kebelakangan ini.

Azlan menjelaskan gempa susulan yang berlaku selepas sesuatu gempa bumi utama adalah fenomena biasa dan dijangka berlaku dalam proses pelepasan tenaga tektonik.

Katanya, kewujudan gempa susulan tidak semestinya bermakna satu lagi gempa bumi yang lebih besar akan berlaku dalam masa terdekat.

Menurut beliau, setiap kejadian gempa bumi perlu dinilai secara berasingan berdasarkan faktor seperti lokasi, kedalaman, mekanisme seismik dan hubungan tektonik sebelum sebarang kesimpulan dibuat mengenai kaitan antara kejadian-kejadian tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Malaysia tidak perlu panik dengan perkembangan semasa di Indonesia, namun perlu sentiasa peka terhadap risiko bencana alam dan memahami langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Mengulas tahap kesiapsiagaan negara, Azlan berpandangan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk menghadapi risiko gempa bumi, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Malaysia telah membuat pelbagai usaha untuk menghadapi gempa bumi, namun kita masih boleh melakukan lebih banyak penambahbaikan. Kita mempunyai agensi seperti MetMalaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, NADMA, JKR, universiti dan pelbagai pakar.

“Namun masalahnya gempa bumi masih dianggap sebagai bencana yang jarang berlaku di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang boleh dipertingkatkan termasuk penilaian risiko gempa bumi yang lebih menyeluruh, pengemaskinian peta bahaya gempa bumi serta pemeriksaan terhadap bangunan dan infrastruktur kritikal.

Menurutnya, aspek kesiapsiagaan awam juga perlu diberi perhatian menerusi pendidikan berterusan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku gempa bumi.

Tegas beliau, walaupun manusia tidak mampu menghalang kejadian gempa bumi, kesannya boleh dikurangkan melalui perancangan yang baik, pemantauan berterusan dan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Must Watch Video

Advertisement