KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyifatkan pengisian aktiviti siri kedua program Jelajah Perpaduan berjaya merancakkan sifat keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pihaknya gembira melihat kerjasama bersama Astro AWANI dalam usaha menyebarkan mesej mengenai kepentingan mengekalkan keharmonian dan semangat perpaduan dalam komuniti setempat.

"Pihak KPN berterima kasih kepada friends of unity iaitu Astro AWANI dan pihak lain di negara ini yang membantu kita menjayakan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada perpaduan.

"Kami amat berterima kasih, kalau hari ini kita boleh melihat di kawasan ini banyak program komuniti, sukan dan sebagainya termasuk program mewarna, menari yang disertai oleh semua kaum di sini termasuk kaum India, Cina, Melayu, Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di acara siri kedua program jelajah Perpaduan X Astro AWANI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga berharap program ini akan diteruskan pada tahun hadapan yang turut melibatkan penduduk di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, KPN akan terus menggiatkan usaha dengan menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyemarakkan semangat perpaduan dalam masyarakat.

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail memberitahu kerjasama antara media dan Kerajaan dalam merealisasikan matlamat melahirkan kebersamaan dalam semua kaum perlu terus dipromosi.

Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail memberitahu kerjasama antara media dan kerajaan dalam merealisasikan matlamat melahirkan kebersamaan dalam semua kaum perlu terus diketengahkan.

"Kalau kita tengok dari landskap global turun ke tempatan perkara paling utama adalah membina kepercayaan di antara satu sama lain.

"Media perlu bersama berusaha di peringkat kerajaan dan masyarakat setiap lapisan untuk mengeratkan lagi bukan sahaja hubungan tetapi persafahaman dan mengukuhkan muafakat," katanya.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Astro AWANI buat julung kalinya berkolaborasi menerusi penganjuran program Road Tour Perpaduan Siri Pertama yang berlangsung pada 4 November lalu.

Dengan sokongan Era FM, program berkenaan merupakan sebahagian daripada teras 'Kembara Perpaduan Malaysia Madani' yang dilancarkan oleh KPN, bagi merancakkan lagi semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.