ALOR GAJAH: Peluasan pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kerajaan Negeri Melaka terus memberi impak positif dalam pengurusan aduan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata keberkesanan penggunaan sistem berkenaan telah melebihi 60 peratus, berbanding sistem konvensional iaitu rakyat terpaksa beratur untuk kemukakan aduan.

"Setakat 1 Dis lepas, SISPAA kerajaan negeri telah menerima 12,650 aduan dan 12,171 (daripadanya) telah dapat diselesaikan atau 96.2 peratus.

"Hanya 479 atau 3.8 peratus aduan belum dapat diselesaikan dan ini menunjukkan trend positif peralihan rakyat kepada sistem pendigitalan yang dilihat lebih efektif dan praktikal dari aspek masa dan tenaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka bagi Parlimen Masjid Tanah di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang dua sesi Hari Bertemu Rakyat yang dianjurkan sebelum ini juga mencatatkan sebanyak 331 aduan diterima kerajaan negeri dan 296 permasalahan telah diselesaikan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata bermula tahun hadapan Hari Bertemu Rakyat akan digerakkan di seluruh Parlimen di dalam negeri ini secara bergilir-gilir.

"Parlimen Masjid Tanah adalah yang pertama diadakan di luar bandar Melaka dan selepas ini kita akan bergerak ke Jasin, Alor Gajah dan seterusnya Tangga Batu.

"Ini ialah platform kepada kerajaan negeri untuk mendengar dan menyelami secara terus masalah rakyat di peringkat akar umbi dan membantu menyelesaikannya dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 14 hari," katanya.

-- BERNAMA