Situasi banjir di negeri Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa-mangsa banjir ditempatkan ke pusat-pusat pemindahan di keempat-empat negeri itu.

BERNAMA melaporkan di PAHANG, sehingga jam 5 petang tadi, 19,750 mangsa banjir telah ditempatkan di 73 pusat-pusat pemindahan banjir di lima daerah di negeri itu yang dinaiki air seperti di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Jerantut.

Seramai 12,007 mangsa ditempatkan di 46 pusat pemindahan di Kuantan yang dilaporkan lumpuh akibat bekalan elektrik dan air yang terputus, manakala di Rompin pula terdapat 3,982 mangsa banjir yang dipindahkan ke 10 tempat pemindahan bencana.

Di Pekan dan Maran pula, seramai 2,750 dan 1,005 mangsa dipindahkan manakala selebihnya melibatkan mangsda-mangsa banjir yang berada di Jerantut.

Sementara itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan banjir yang berlaku kali ini adalah lebih buruk berbanding dengan banjir pada tahun 2001.

"Saya ingin nyatakan bahawa keadaan banjir kali ini sangat teruk, ianya lebih teruk dari 2001 yang juga buruk. Tetapi yg ini lebih buruk lagi.

"Walaupun buruk, kita masih lagi dapat mengawal keadaan. Tinggal lagi beberapa masalah timbul disebabkan 20,000 mangsa sekaligus," katanya dalam satu temubual atas talian di Awani 7.45.



Katanya, masalah itu timbul bukanlah disebabkan oleh ketiadaan makanan tetapi disebabkan oleh kenderaan yang menghalang lori-lori oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa bekalan tersebut untuk sampai ke destinasi mereka.

Dalam pada itu, Adnan juga telah mengarahkan supaya beberapa kem tentera dijadikan pusat pemindahan baru mangsa banjir di Kuantan.

Katanya, ia adalah berikutan terdapat pusat pemindahan yang terlalu ramai dan tidak selesa keadaannya.

Menurut beliau, arahan dikeluarkan selepas beliau meninjau beberapa pusat pemindahan iaitu sekolah yang ditenggelami air serta mangsa yang tidak mendapat makanan kerana jumlah mereka terlalu ramai.

Kata Adnan, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau bersetuju dengan saranan yang dibuat.

Laporan Bernama turut memetik kenyataan, Najib turut mengarahkan supaya pemindahan ke pangkalan tentera seperti Kem Batu 10 dan Pangkalan Gerakan Am (PGA) itu segera dilakukan.

Di JOHOR pula, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan penduduk negeri supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama pada musim banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

Menurutnya, kawasan-kawasan seperti Mersing, Kluang, Segamat, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat kini sedang dinaiki air dan mangsa-mangsa banjir dikawasan berkenaan telah mula dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Terdapat peningkatan dalam jumlah mangsa banjir di enam daerah yang mengalami banjir dimana seramai 8,250 orang kini berada di pusat pemindahan sehingga jam 4 petang tadi.

Seramai 5,694 orang berada di pusat pemindahan di Mersing, Segamat (1,081), Kluang (975), Kota Tinggi (212), Muar (217) dan Batu Pahat (71).

Sementara itu, di TERENGGANU pula, seramai 4,929 orang ditempatkan di pusat pemindahan di beberapa kawasan terjejas seperti di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Di Kemaman sahaja, 36 pusat pemindahan dibuka seperti di balai raya, bangunan sekolah, surau, masjid dan sebagainya manakala di Dungun pula hanya lima pusat pemindahan dibuka dan di Hulu Terengganu pula terdapat 17 buah pusat pemindahan yang kini dibuka untuk penempatan sementara mangsa-mangsa banjir.

Di KELANTAN pula, sebanyak 436 mangsa di jajahan Kuala Krai dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir.

Mangsa terdiri dari 98 keluarga yang tinggal dikawasan Mengkebang dan Olak Jeram.

Namun begitu, tiada jalan-jalan utama di negeri itu dilaporkan terputus.

JUMLAH MANGSA BANJIR YANG DIPINDAHKAN SEHINGGA JAM 5 PETANG TADI

PAHANG – 19,750 orang

JOHOR – 8,250 orang

TERENGGANU – 4,929 orang

KELANTAN – 436 orang