GEORGE TOWN: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru dekat sini disenarai pendek sebagai tiga sekolah teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia menerusi kategori inovasi menerusi ciptaan Smart and Easy Table (SnET) 2.0.

Pencapaian itu menjadikan SK Seri Permai yang mempunyai 1,500 murid, satu-satunya sekolah di Malaysia yang disenarai pendek untuk kategori tersebut, dengan menampilkan inovasi untuk meringankan beban beg sekolah yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada murid.

Guru Besar Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata hasil inovasi itu, penghantaran kerja rumah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 54 peratus kepada 91 peratus, selain peningkatan prestasi sekolah kerana berjaya menambah baik kesejahteraan murid.

"Bagi meringankan beban beg sekolah, meja yang digunakan oleh murid direka dengan dua laci yang boleh dikunci dengan murid sesi pagi dan petang boleh menyimpan buku mereka di dalam laci masing-masing supaya tidak perlu membawanya lagi pada keesokan harinya.

"Meja itu juga mempunyai tiga petak di sebelahnya untuk menyusun botol air dan alat tulis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman senarai itu secara dalam talian oleh T4 Education yang berpangkalan di United Kingdom hari ini, yang kemudiannya disambut sorakan kuat warga sekolah berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Mohammad Sabarullah turut berterima kasih kepada semua pihak kerana banyak memberi semangat selain berharap mereka mampu mencapai kemenangan.

Katanya inovasi pertama di Malaysia dan di dunia itu bukan hanya menangani masalah beg berat iaitu daripada tujuh hingga 10 kilogram (kg) kepada kira-kira 2.5kg bagi setiap murid, ia juga meningkatkan keyakinan dan keseronokan murid untuk hadir ke sekolah.

"Inovasi ciptaan saya dengan bantuan guru-guru ini mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dalam kalangan murid sekolah sehingga menarik minat beberapa negara lain untuk menghasilkan SnET 2.0 di sekolah mereka," katanya.

Selain SK Seri Permai, dua lagi sekolah yang disenaraikan dalam tiga teratas ialah Crimson Global Academy, New Zealand dan The Riverside School, India.

-- BERNAMA