ROM: Dua Ahli Parlimen Eropah, Marc Tarabella dan Andrea Cozzolino telah ditahan berhubung siasatan kes rasuah "Qatargate", lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Penahanan itu dibuat selepas pejabat pendakwa raya menyoal siasat Tarabella di Brussels pada Jumaat.

Polis Itali menahan Cozzolino selepas beliau mendapatkan rawatan di hospital Naples, menurut beberapa laporan media Itali.

Baru-baru ini, kekebalan kedua-dua Ahli Parlimen itu ditarik balik dan mereka telah disingkirkan daripada Kumpulan Sosialis. Mereka dituduh menerima rasuah namun, kedua-duanya menafikan tuduhan itu.

Pendedahan skandal itu bermula pada Disember, apabila naib presiden Parlimen Eropah ketika itu Eva Kaili, bekas Ahli Parlimen Kesatuan Eropah Pier Antonio Panzeri dan dua suspek lain ditahan kerana disyaki terlibat dalam organisasi jenayah, pengubahan wang haram dan rasuah.

Mereka dituduh mempengaruhi keputusan parlimen untuk memihak kepada tuan rumah Piala Dunia bola sepak Qatar dan Maghribi, sebagai pulangan bagi habuan yang diterima.

-- BERNAMA