Pemansuhan diskaun pemilikan rumah untuk bumiputera oleh Kerajaan Negeri Selangor akan menyempitkan peluang pemilikan untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Pengarah Institut Belia Selangor, Datuk Hazali Abu Hassan berkata, ia akan melebarkan jurang antara mereka yang mampu dan tidak mampu di negeri itu.

"Kami setuju dan sedia maklum bahawa bukan hanya bumiputera sahaja yang tidak mampu tetapi mereka daripada B40 terdiri daripada semua kaum.

"Namun, apakah jalan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk terus membantu seterusnya memperkasakan peluang pemilikan hartanah terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan?

"Satu cadangan yang saya kira boleh dikaji adalah dengan memberi golongan ini bantuan dari segi faedah pinjaman kewangan daripada institusi kewangan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teng Chang Kim sebelum ini dilaporkan berkata, diskaun 10 peratus yang selama ini diberikan kepada Bumiputra untuk tujuan memiliki apartmen, unit SOHO dan pejabat kecil versatil akan dihapuskan mengikut panduan baharu pembangunan perumahan di Selangor.

Bagaimapaun katanya, kuota perumahan bumiputra sebanyak 30 peratus kekal.

Dalam pada itu kata Hazali, Skim ‘Faedah Khas Mampu Milik’ (satu kali untuk satu nama) juga boleh dipertimbang diberi kepada mereka yang layak.

"Faedah pinjaman ini adalah rendah daripada biasa, sebagai contoh kekurangan sebanyak 20 basis point (atau beberapa peratus), dengan tempoh pinjaman dilanjutkan ke tempoh yang lebih panjang.

"Kami pasti, selepas pengiraan dibuat, ‘pengurangan’ ataupun savings jangka masa panjang yang boleh dinikmati oleh golongan ini akan lebih tinggi daripada diskaun hadapan 10 peratus oleh pemaju.

"Ini juga satu jalan penyelesaian yang lebih holistik jangka masa panjang kerana secara purata jumlah bayaran bulanan juga akan turut turun," katanya.

Jelasnya lagi, pihak Kerajaan melalui KWSP, MBSB ataupun Cagamas boleh menjadi peneraju skim bagi menjamin dan mengimbangi risiko kredit oleh pembeli-pembeli bagi jangka panjang yang boleh dijamin sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

"Dengan cara ini, golongan bumiputera masih boleh diperkasakan bagi pemilikan hartanah.

"Cadangan ini boleh diguna pakai oleh semua mereka yang layak dan bukan hanya bagi hartanah di Selangor. Kajian segera perlu dilakukan, jalan penyelesaian pasti ada bagi terus membantu golongan ini memiliki hartanah," katanya.