Manfaat daripada Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam, mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan takaful kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan mencatatkan kadar penembusan yang ketara dalam segmen ini, kata seorang perunding penyelidikan.

Rakan Kongsi Dr Schanz, Alms Company Henner Alms berkata permintaan terhadap inisiatif insurans kerajaan itu besar, bagaimanapun, program itu mempunyai hadnya.

"Ia menawarkan perlindungan ke atas 36 penyakit kritikal tetapi cabaran yang dihadapi oleh segmen B40 mungkin lebih besar. Persoalannya ialah bagaimana anda dapat mengatasi penyelesaian semasa yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran terbitan pertama penerbitan Thought Leadership Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2019 di sini pada Rabu.

Alms berkata terdapat pendekatan yang amat berbeza diambil dalam pasaran sedang pesat membangun dan mendapat akses kepada lebih ramai orang.

"Saya fikir ia adalah dipersetujui bahawa kadar penembusan yang kurang dalam segmen pendapatan rendah menjadi cabaran yang besar kepada setiap masyarakat, kerana golongan ini merupakan mereka yang lebih terdedah kepada bencana, dan mempunyai kurang perlindungan.

"Oleh itu, setiap penggubal dasar dan syarikat insurans perlu mencari penyelesaian untuk menangani cabaran ini. Bagaimanapun, ia bukan mudah dan sering penyelesaian yang mencukupi yang diambil dalam pelbagai pasaran merupakan gabungan sektor swasta (syarikat insurans) dan kerajaan," kata Alms.

Dalam memperluaskan skop 36 penyakit kritikal, katanya ia tidak perlu kerana segmen B40 menghadapi cabaran yang berbeza.

"Misalnya China dan India, insurans pertanian dalam gabungan dengan kerajaan merupakan penyelesaian yang amat baik untuk memberikan keselamatan pendapatan kepada segmen itu, tetapi itu pendekatan yang amat berbeza yang turut memberi manfaat yang besar," katanya.

Ditubuhkan pada 2008 dan bermastautin di Zurich, Dr. Schanz, Alms Company menyokong pelanggannya dalam menyelidik dan menganalisis persekitaran perniagaan mereka, membangun dan melaksanakan profil strategik yang berbeza dan berkomunikasi dengan berkesan dengan pihak berkepentingan utama mereka.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Berhad Zainudin Ishak berkata matlamatnya juga untuk mempunyai skim yang didorong secara komersial, disokong oleh mekanisme harga yang mencukupi dengan manfaat yang sesuai.

"Saya fikir pengawal selia cuba menggalakkan penggiat industri hari ini untuk memastikan kita dapat memberi saluran pengedaran yang paling cekap -- dari segi mendigitalkan insurans - dan anda dapat memansuhkan kos ini dan kos ini boleh dibawa terus kepada simpanan dalam premium (insurans),” katanya.

Zainudin berkata itu antara cabaran yang membimbangkan industri insurans hari ini dan semua pihak berkepentingan perlu mencari penyelesaian.

MIH 2019, yang memasukkan input daripada lebih 30 eksekutif insurans kanan dan pakar dalam pasaran, menumpukan kepada lima trend utama, iaitu menghapuskan tarif, penyatuan pasaran, strategi B40, prospek takaful dan InsurTech.

Penerbitan penyelidikan itu boleh didapati di laman web Malaysian Re, www.malaysian-re.com.my.

-- BERNAMA