Sektor pelancongan merupakan sektor penting dalam ekonomi Malaysia dengan aktiviti yang berkaitan
pelancongan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, sektor ini juga menjadi sumber pendapatan kepada lebih 20 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan.

Katanya, bagi merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (Penjana Tourism Fund - PTF) pada 30 Julai lalu yang bernilai RM1 bilion.

"Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada setiap perusahaan mikro, dan sehingga RM300,000 kepada PKS yang layak," katanya ketika menyampai laporan Laksana ke-15 pada Selasa.


Skim tersebut merupakan sebahagian dari usaha kerajaan untuk melonjakkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, Zafrul turut memaklumkan, Skim Pemulihan Perniagaan Tekun atau TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) telah dibuka pada 13 Julai.

Katanya, dalam masa 11 hari iaitu sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 718 permohonan skim berkenaan yang berjumlah RM5.27 juta telah diluluskan.

Zafrul juga berkata, jumlah RM5.27 juta ini merupakan peningkatan daripada RM1.92 juta bagi dua minggu sebelum ia dibuka.

Bagi merangsang ekonomi pula, Zafrul berkata, kerajaan juga telah melancarkan inisiatif e-PENJANA bermula 31 Julai lalu.

Katanya, inisiatif ini bertujuan merangsang perniagaan runcit dan membudayakan pembayaran secara digital.

"Alhamdulillah, dalam tiga hari pertama e-PENJANA, sehingga 2 Ogos 2020, lebih daripada 4.5 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka.

"Sejak e-PENJANA diumumkan, bilangan pengguna MySejahtera yang berdaftar telah meningkat lebih daripada dua juta kepada 9.4 juta pengguna," katanya lagi.

Rakyat tuut diingatkan bahawa e-PENJANA boleh ditebus menggunakan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu, Boost, GrabPay dan Touch 'n Go eWallet.