Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendisiplinkan dan memantau kadar servis telekomunikasi dan perkhidmatan syarikat telekomunikasi negara ini.

Ia berikutan ramai pengguna terbeban kerana terpaksa membelanjakan sehingga 20% daripada gaji mereka hanya untuk membayar caj-caj telekomunikasi.

Pengguna juga mengadu mereka teraniaya dengan caj berlebihan atau caj perkhidmatan yang tidak diminta atau caj-caj tanpa justifikasi, yang dilihat menipu mengguna dan tidak beretika, kata PPIM dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan yang sama, PPIM juga berkata kadar servis itu perlu diturunkan berdasarkan kualiti kos pengurusan dan perkhidmatan telekomunikasi yang semakin merosot dan juga kualiti perkhidmatan broadband yang kurang memuaskan.

Selain itu, kadar servis telefon mudah alih tempatan didapati lebih tinggi berbanding negara lain seperti India dan Bangladesh, kata PPIM.

“Perkhidmatan telekomunikasi ke beberapa negara lain lebih murah berbanding panggilan tempatan yang menjadikan pengguna berasakan mereka di ‘anak tiri’kan."

PPIM juga menyeru SKMM untuk mewujudkan mekanisma kalibrasi (ukuran bermeter) yang dipantau dan membatalkan perkhidmatan terselindung dan aplikasi syarikat telko yang dianggap mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Kami mahu SKMM meningkat perkhidmatan telekomunikasi dan meluaskan kawasan liputan kerana masih ada kawasan walaupun di Kuala Lumpur yang tidak mendapat liputan yang baik,“ kata PPIM.

Dalam masa yang sama PPIM menyambut baik keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu berunding dengan syarikat telco di negara ini untuk menyemak semula kadar servis.

Shabery berkata kadar yang dikenakan ketika ini perlu disemak berikutan penurunan harga minyak dunia.

PPIM turut meluahkan hasrat untuk menyertai kempen penurunan harga pada 1 Mac ini yang akan dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).