SkyLounge Xpress rasmi beroperasi di Subang Skypark

SkyLounge Xpress adalah tempat rehat ideal sebelum penumpang berlepas.
PENUMPANG domestik yang berlepas dari Subang SkyPark kini boleh menikmati pengalaman prapenerbangan bertaraf premium dengan keselesaan dan gaya baharu di SkyLounge Xpress.
Bertempat di Ruang Berlepas Domestik Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, SkyLounge Xpress direka dengan sentuhan moden dan elegan, menggabungkan fungsi serta gaya kontemporari — sesuai untuk penumpang menikmati kopi, menyiapkan tugasan terakhir, atau berehat seketika sebelum berlepas.
“SkyLounge Xpress diinspirasikan daripada kejayaan SkyLounge pertama kami yang telah menetapkan penanda aras bagi pengalaman prapenerbangan premium lebih sedekad lalu.
"Melalui konsep ‘ekspres’ ini, kami ingin menawarkan pengalaman dan kemudahan tersebut lebih mudah diakses oleh semua penumpang — sesuai dengan gaya hidup penumpang masa kini yang sentiasa bergerak pantas. Ia mencerminkan usaha Naza untuk memperluas sentuhan hospitaliti kami daripada jalan raya ke ruang udara, agar setiap perjalanan bermula dengan penuh keselesaan,” kata Mohd Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bahagian Automotif Naza.
Pembukaan SkyLounge Xpress memberi nafas baharu kepada jenama ini di Subang SkyPark, melengkapi kemudahan SkyLounge sedia ada dengan pilihan yang lebih pantas untuk penumpang yang mempunyai jadual padat.
Kedua-dua ruang rehat ini meningkat daya tarikan Subang SkyPark sebagai lapangan terbang bandar yang menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan eksklusif.
Menawarkan sajian ringan percuma, perkhidmatan Wi-Fi berkelajuan tinggi, kemudahan pengecasan peranti serta ruang kerja yang selesa dan moden, SkyLounge Xpress ini adalah tempat rehat ideal sebelum berlepas.
Dengan keluasan kira-kira 2,225 kaki persegi, ruang ini mampu menampung sehingga 80 tetamu pada satu masa. Ia dibuka setiap hari dari 5.30 pagi hingga 9.00 malam, pilihan ideal bagi pengembara kerap yang mementingkan keselesaan dan nilai.
SkyLounge Xpress diuruskan oleh Eight Valuations Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat Kumpulan Naza, dan merupakan sebahagian usaha Kumpulan memperkukuh kehadirannya dalam sektor gaya hidup di Malaysia.
Ruang ini juga seiring dengan visi pembangunan Subang SkyPark di bawah Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Subang SkyPark Sdn. Bhd.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif Kumpulan Naza, Nur Diana Nasimuddin dan Nur Nadia Nasimuddin, bersama rakan-rakan strategik Kumpulan Naza yang lain.
Eight Valuations Sdn. Bhd
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


