Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Satelit di daerah Muallim.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin berkata ia selepas daerah Muallim menjadi daerah baharu dengan bilangan sekolah yang banyak.

Selain di Muallim, jelas Dr Mohd Radzi, kementerian juga sedang meneliti keperluan mewujudkan PPD Satelit di seluruh negara.

"Ada beberapa PPD Satelit cadangan di seluruh negara yang sedang kita teliti dan masih di peringkat penelitian.

"Jadi kita sedang teliti sebagaimana kita sedar jumlah sekolah di kawasan ini (DUN Slim) terlalu banyak dan juga keperluan untuk ke Batang Padang pun agak jauh.

"Jadi bukan sahaja di kawasan Muallim tetapi di kawasan-kawasan lain juga," kata beliau selepas mengunjungi pasangan suami isteri bekas guru di Pekan Slim, di sini pada Khamis.
BACA SEMUA BERKAITAN SLIM MEMILIH DI SINI


Pada Rabu, calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz dalam wawancara dengan media berkata, selain masalah kemudahan asas dan banjir, beliau akan berusaha agar Daerah Muallim mempunyai PPD sendiri.

Ketika ini urusan pentadbiran mengenai sekolah-sekolah di daerah Muallim dijalankan dengan menumpang di sebuah sekolah dari Slim River.