Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sokongan dan kerjasama rakyat perlu bagi mengawasi ancaman ekstremisme di negara ini.

Beliau menegaskan fenomena itu membahayakan kerana memberi peluang kepada musuh-musuh Islam memfitnah agama Allah ini sebagai agama pengganas.

Katanya, sikap ditonjolkan kumpulan berkenaan tidak mencerminkan agama Islam yang sebenar kerana Islam tidak menyusahkan umatnya, bersikap toleran dan moderat, namun demikian terdapat kelompok yang melampau dalam tindakan mereka.

"Kumpulan ini tidak minat terlibat dalam politik. Bagi mereka, politik adalah karut. Yang penting bagi mereka ialah bangunkan negara Islam mengikut acuan mereka," kata Salleh dalam catatan terbaru di laman blognya.

Menurutnya, ekstremisme ialah sikap melampau yang tidak mengakui pendapat orang lain, menidakkan tolak ansur, kasar dalam tutur kata, keras dalam penyampaian dakwah, dan mengkufurkan orang lain yang tidak menerima fikiran mereka.

Beliau berkata sehingga kini Malaysia berjaya mengawal ancaman kumpulan ekstremis itu.

"John Dauth dalam tulisannya di The Telegraph menyatakan Malaysia adalah model negara berjaya dalam menguruskan ancaman kumpulan ini.

"Kejayaan ini adalah disebabkan oleh tiga faktor: keupayaan kerajaan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan keharmonian dalam masyarakat, dan sikap rakyatnya yang moderat," tambahnya.

-- BERNAMA