SERI KEMBANGAN: Solat jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selesai ditunaikan kira-kira jam 5.10 petang, di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, pada Isnin.
Ribuan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Suasana pilu turut menyelubungi segenap ruang masjid apabila orang ramai beratur panjang dari luar dewan solat untuk bergilir-gilir menziarahi Allahyarham buat kali terakhir.
Pihak masjid menganjurkan solat jenazah sebanyak dua kali yang diimamkan Muhammad Danial Hussan dan Ustaz Basyeer bagi memberikan peluang kepada lebih ramai jemaah menunaikan fardu kifayah tersebut.
Sebaik selesai, jenazah dibawa keluar dari masjid dengan istiadat pengebumian pembesar negara sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara.
Jenazah seterusnya dibawa ke destinasi terakhir Allahyarham iaitu di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, untuk disemadikan.
Turut kelihatan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Selain itu, isteri kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga hadir.
Pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah merupakan kehilangan besar buat negara, khususnya atas sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat dan pembangunan negara.