KANGAR: Perlis menggalakkan solat sunat Hari Raya Aidiladha pada Khamis (29 Jun) ini dilaksanakan di tanah lapang dan diselaraskan pada pukul 8 pagi, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing dan perkara ini selaras dengan Sunnah Rasulullah SAW.

"Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, tempat dan bilangan jemaah yang hadir," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Baginda bertitah dalam keadaan cuaca yang tidak sesuai, solat sunat Aidiladha boleh dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi dan hebahan berkaitan perubahan lokasi perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah sebagai langkah keselamatan, jemaah digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Sementara itu mengenai penganjuran ibadah korban, baginda bertitah ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan atau swasta, masjid atau surau berdaftar dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis," titah baginda.

-- BERNAMA