Waris keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, yang terkorban dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu, melahirkan rasa terharu dengan sokongan diberi rakyat Malaysia semasa perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini.

Zarina Shuib, ibu saudara Muhammad Haziq, memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana berkesempatan menyertai rakyat Malaysia dalam perhimpunan itu di sini hari ini.

"Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan berkenaan.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang sudi menziarahi adinda kami di sana serta melihat dengan lebih dekat lagi keadaan di Christchurch," katanya.

BACA: 'Aku dah lama tak rasa seronok macam ni' - ungkapan terakhir Allahyarham Haziq

Zarina berkata demikian ketika berucap mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Haziq pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka di sini.

"Biarpun ujian berat ini diterima, namun kami ahli keluarga reda dengan pemergian Muhammad Haziq dan wajib menerima ketentuan-Nya.

"Kami akan menyokong usaha ini bagi menyatakan kebersamaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa," katanya sambil menahan sebak.


BACA: 'Hormati perasaan keluarga, henti tular mengenai Mohd Haziq'

Zarina, kakak kepada Mohd Tarmizi Shuib, yang turut cedera dalam insiden serangan pengganas Christchurch itu, berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau amat cintakan kedamaian dan keamanan sejagat.

Muhammad Haziq, anak kedua Mohd Tarmizi, ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi tembakan di masjid Christchurch.

BACA: Serangan solat Jumaat: 'Wajah Haziq tersenyum'

Ketika kejadian, Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12 tahun, dan Muhammad Haziq, hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.

Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala bapa mereka parah ditembak.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.