KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Aidilfitri bakal diumumkan minggu depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini kerajaan sedang dalam proses memperhalusi cadangan dan saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita mendengar pembentangan JAKIM berkenaan SOP hari raya seperti takbir, solat Aidilfitri, menziarahi kubur dan lain-lain. Buat masa ini kita sedang memperhalusinya kerana terdapat beberapa teguran mengenai cadangan JAKIM.

"Kita akan mengemas kini dan menambah baik beberapa bahagian dan minggu depan, kita akan umumkan SOP yang lebih terperinci," katanya dalam sidang media khas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Sementara itu, prihatin dengan keluhan peniaga di bazar Aidilfitri berkenaan tempoh perniagaan yang singkat, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh urus niaga sehingga jam 2 pagi, bermula esok.

"Kita diberitahu orang ramai akan berkunjung ke bazar, kebiasaannya selepas selesai solat tarawih. Dengan waktu perniagaan sekarang sehingga jam 12 tengah malam, waktu urus niaga mereka sangat singkat.

"Kerana itu kita bersetuju untuk lanjutkan waktu perniagaan bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi," ujarnya.