Skip to main content

Malaysia

SPAN dan NIOSH lancar WiSP, tingkat kesiapsiagaan keselamatan pekerja industri air

KUALA LUMPUR, 11 Feb -- Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Khairul Firdaus berkata, WiSP ialah inisiatif sulung Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bertujuan memperkemas dan mengiktiraf kepentingan keselamatan dalam industri perkhidmatan air. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pekerja dalam sektor perkhidmatan air di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan diwajibkan menjalani latihan keselamatan Water Industries Safety Passport (WiSP) mulai 2028, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka terhadap risiko di tempat kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, WiSP ialah inisiatif sulung Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bertujuan memperkemas dan mengiktiraf kepentingan keselamatan dalam industri perkhidmatan air.

“Inisiatif ini ialah pemangkin supaya industri lain juga melihat betapa pentingnya ada elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dari setiap sudut untuk dimainkan serta ditambah baik dan dibangunkan bersama dengan NIOSH dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan WiSP bersempena dengan Majlis Peluncuran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2026), di sini, pada Isnin.

Sementara itu, SPAN menerusi kenyataan memaklumkan, WiSP dibangunkan selaras dengan Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], berkaitan tanggungjawab majikan menyediakan latihan yang mencukupi bagi memastikan pekerja menjalankan tugas dengan selamat.

Menurut agensi itu, pembangunan WiSP melibatkan pegawai keselamatan daripada semua operator bekalan air dan pembetungan di bawah seliaan SPAN serta pegawai SPAN, diketuai oleh NIOSH dan diselaraskan oleh SPAN.

“Modul Water Safety Passport Air Selangor dan IWK Safety Passport dijadikan teras dan rujukan dalam pembangunan modul WiSP, dengan tiga siri bengkel telah dilaksanakan bagi memurnikan modul, membangunkan bank soalan dan menyediakan tenaga pengajar WiSP,” menurut kenyataan itu.

Modul berkenaan turut merangkumi lima topik utama, iaitu pengenalan kepada WiSP, undang-undang keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, bahaya dan kawalan risiko di tempat kerja, Safe Work Method serta tindakan kecemasan.

Latihan WiSP yang dikendalikan oleh NIOSH selama satu hari atau lapan jam berserta penilaian kefahaman memberikan fokus kepada kontraktor, pekerja kontraktor dan subkontraktor sebagai prasyarat memasuki tapak kerja seperti loji rawatan, tangki simpanan dan zon paip utama.

Menurut SPAN, setakat 1 Sept lepas, sebanyak 54 tenaga pengajar daripada NIOSH, operator dan SPAN telah diiktiraf oleh NIOSH untuk mengendalikan WiSP di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement