IPOH: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meneruskan inisiatif untuk menggalakkan penggunaan air secara berhemat antaranya melalui penggunaan produk yang mempunyai label Cekap Air dengan pemberian rebat secara bersasar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha itu diteruskan dengan pelancaran Program Jimat Air 4.0 hari ini yang merupakan kesinambungan daripada siri Program Jimat Air 1.0 hingga 3.0 yang dilaksanakan pada tahun 2021 hingga tahun lepas.

"Program Jimat Air 4.0 ini merupakan satu inisiatif SPAN di bawah kempen penggalakan penggunaan produk cekap air yang bermula dari bulan ini hingga 31 Disember 2023.

Untuk itu, SPAN telah melantik Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (SHOPEE) sebagai platform e-Dagang bagi pemberian rebat untuk pembelian produk cekap air di bawah program Jimat Air 4.0 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jimat Air 4.0 - SPAN bersama SHOPEE di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif SPAN itu selari dengan hasrat kerajaan seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), iaitu penggunaan peralatan cekap air yang dilabelkan dengan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (WEPLS) akan dipertingkatkan kepada pengguna domestik dan industri serta premis kerajaan.

Katanya dalam jangka masa panjang, pengguna dapat menjimatkan bil air sehingga 50 peratus daripada jumlah bil semasa bergantung kepada kadar penggunaan produk cekap air.

Nik Nazmi berkata menurut statistik pada 2021, kadar penggunaan air domestik bagi setiap individu ialah sebanyak 251 liter sehari berbanding dengan sasaran yang telah ditetapkan dalam Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020-2030 adalah sebanyak 160 liter sehari untuk setiap individu menjelang tahun 2030.

"Secara umumnya, kadar penggunaan air domestik di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, iaitu sebanyak 140 liter sehari.

Penggunaan air yang tinggi ini sekali gus memberi impak langsung kepada sumber air sedia ada dalam menampung permintaan air yang kian meningkat akibat proses urbanisasi, pertumbuhan ekonomi dan pertambahan penduduk," katanya.

Beliau berkata Program Jimat Air 4.0 dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk cekap air dan menggalakkan mereka untuk menggunakannya dan pihak pembekal diharapkan dapat memasarkan lebih banyak produk cekap air di pasaran agar pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.

-- BERNAMA