CYBERJAYA: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) telah menyiapkan 15,445 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR), dua tahun lebih awal serta melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk membina 15,000 unit RMR menjelang 2025.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak projek Aspire Residence di sini yang terbengkalai sejak 2018 hari ini, berkata kejayaan SPNB itu menyumbang kepada empat peratus daripada sasaran keseluruhan RMK12.

SPNB merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menerajui penyediaan rumah mampu milik sejak 1997 dan dipertanggungjawabkan untuk membina 15,000 unit RMR di seluruh negara menjelang 2025 daripada 500,000 unit yang disasarkan oleh kerajaan dalam RMK12.

Nga berkata SPNB kini juga memberi fokus untuk menyelesaikan 12 projek perumahan sakit melibatkan 1,711 unit dan kesemuanya dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini atau suku pertama tahun hadapan.

Beliau berkata projek Aspire Residence merupakan salah satu projek yang dibaik pulih SPNB bermula 2020 selepas terbengkalai sejak 2018 dan kini projek itu mencapai kemajuan 97 peratus, manakala Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan diperolehi sebelum Oktober, sebelum kunci diserahkan kepada pembeli.

Nga berkata sepanjang tiga tahun di bawah pengurusan baharu, SPNB telah melaksanakan 10 penambahbaikan bagi program RMR antaranya syarat pendapatan dinaikkan kepada RM5,000 ke bawah daripada pendapatan asal RM3,000 ke bawah, serta saiz RMR diselaraskan dengan saiz program perumahan bersubsidi yang lain di bawah KPKT.

"Perubahan syarat pendapatan ini telah memberi peluang kepada 65.4 peratus isi rumah luar bandar memiliki RMR berbanding 30.8 peratus yang layak sebelum ini," katanya.

Nga berkata pasukan khas KPKT yang dipengerusikan timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah mengenal pasti 112 projek terbengkalai bernilai lebih RM5 bilion di seluruh negara dan kesemua projek itu sedang rancak dipulihkan.

Beliau juga memberi jaminan tiada satu pun projek sakit menjelang tahun hadapan memandangkan usaha giat dijalankan untuk memulihkan projek sakit di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), iaitu 17 projek dikenal pasti dan sembilan daripadanya telah diselesaikan.

-- BERNAMA