Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) telah menerima sebanyak 81,206 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) sejak program itu diperkenalkan pada 2002 sehingga 29 Feb lepas.

Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 38,147 permohonan telah diluluskan.

"Sebanyak 34,902 rumah telah disiapkan, 2,193 lagi masih dalam proses pembinaan manakala 1,052 permohonan dalam peringkat dokumen perjanjian.

"Sementara itu, sebanyak 24,360 permohonan telah ditolak dan 18,699 permohonan masih diproses," katanya pada majlis penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M, di sini, semalam.

Abd Latiff, yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata bagi Johor sahaja, sebanyak 10,818 permohonan diterima dengan 5,319 daripadanya telah diluluskan.

"Sehingga kini, sebanyak 4,702 rumah telah siap dibina, 535 unit lagi sedang dalam peringkat pembinaan dan 82 sedang dalam peringkat dokumen perjanjian.

"Sebanyak 2,843 permohonan ditolak disebabkan tidak mematuhi syarat kelayakan dan 2,656 pemohon masih dalam senarai menunggu," katanya.

Terdahulu, Abd Latiff menyampaikan Sijil Kelayakan (subsidi) berjumlah RM20,000 kepada 29 pemohon yang layak dan Inden Kerja RMR1M kepada 10 kontraktor terpilih.

Program RMR1M diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti petani dan keluarga kurang berkemampuan yang masih belum memiliki rumah kekal atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah sendiri yang sempurna dan selesa.