KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Selasa ini (18 Julai) bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ia selepas pihaknya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 Nov lepas.

"Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dan membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut...satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Beliau berkata walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

-- BERNAMA