Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap Pilihan Raya Umum ke-13 dapat dijalankan serentak dengan kerjasama semua kerajaan negeri.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, langkah itu penting kerana pilihan raya berasingan melibatkan kos yang tinggi.

Abdul Aziz memberi contoh, kira-kira RM30 juta diperuntukkan SPR untuk Selangor jika pilihan raya berasingan dilakukan.

“Jika dibuat berasingan seperti yang dikehendaki oleh kerajaan Selangor, ianya akan memakan kos sekurang-kurangnya RM30 juta,” kata Abdul Aziz.

Katanya, mengikut rekod SPR, Selangor mencatatkan jumlah pengundi tertinggi berbanding negeri lain.

Ketika ini, terdapat 13 .3 juta pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan taklimat kepada Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya untuk negeri Selangor di Shah Alam.

Mengenai kempen pilihan raya, Abdul Aziz berkata, ia akan dilanjutkan sehingga lebih 11 hari berbanding tujuh hari pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau juga menjangkakan PRU ke -13 bakal menjadi pilihan raya paling “panas” terutamanya di negeri Selangor.