Skip to main content

Malaysia

SPRM bongkar sindiket pemalsuan tuntutan Daya Kerjaya 2.0 libat nilai RM9 juta

61769589359_SPRMMDBrasuah.jpg
Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 membabitkan nilai kira-kira RM9 juta, susulan penahanan 73 individu di seluruh negara kecuali Perlis, Selasa lepas.

Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat.

Menurut sumber, tangkapan dilakukan menerusi operasi bersepadu berskala besar yang dijalankan  Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan suruhanjaya itu serta SPRM negeri dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.

"Mereka dipercayai membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sumber turut memaklumkan, kesemua suspek ditahan di pejabat SPRM negeri dalam operasi yang turut melibatkan penggeledahan di 90 lokasi membabitkan premis syarikat.

“Risikan yang dijalankan sejak November tahun lepas telah menyasarkan 143 premis syarikat di seluruh negara dengan 320 individu dikaitkan dengan tuntutan berkenaan dan secara keseluruhan sebanyak 83 individu merangkumi enam ejen serta 77 pemilik syarikat telah ditahan sepanjang operasi tersebut,” katanya.

Sehingga kini, SPRM telah merakam 104 percakapan yang melibatkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi, selain membekukan 25 akaun bank syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM390,000.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement