PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

"Siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan oleh persatuan individu atau syarikat yang menerima dana terbabit bagi mengesan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.

Khamis lepas, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique untuk menjelaskan di mana dana berjumlah RM9.1 juta daripada Mitra telah dibelanjakan.

Halimah pada 9 Okt lepas dilaporkan berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung isu yang tular berkaitan geran kewangan Mitra.

Menurut Halimah, pihak menteri mahupun ketua pengarah tiada peranan dalam kelulusan geran Mitra kerana kuasa memberi kelulusan diletakkan sepenuhnya di bawah Jawatankuasa Penilaian Geran Mitra yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia juga telah menerima laporan daripada pertubuhan Pemuda Gen Z berhubung isu dana Mitra itu di Ibu Pejabat SPRM dan akan meneliti serta mengkaji laporan tersebut.

-- BERNAMA