SPRM contohi Denmark, Norway perkukuh pendidikan antirasuah akar umbi

Usaha mendekati masyarakat ini merupakan pendekatan pendidikan pencegahan yang menekankan pembentukan karakter, bukan sekadar memberi penerangan tentang kesalahan rasuah.
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi dengan mencontohi strategi negara yang mencatat skor tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seperti Denmark dan Norway.
Ringkasan AI
- SPRM mencontohi pendekatan negara seperti Denmark dan Norway dengan menyemai nilai integriti dalam kalangan belia melalui pendidikan karakter, bukan sekadar penerangan kesalahan.
- SPRM menegaskan golongan muda perlu dibentuk dengan nilai sahsiah tinggi agar menjadi masyarakat berintegriti yang mampu memacu kemajuan negara.
- Program seperti dikir barat digunakan untuk menyampaikan mesej antirasuah secara inklusif dan SPRM bercadang mengangkat pendekatan ini ke peringkat kebangsaan.
"Negara seperti Denmark dan Norway yang mencatat skor CPI tertinggi memulakan pendidikan integriti sejak di peringkat akar umbi. Jadi, kita mahu mencontohi pendekatan itu bukan hanya bercakap tentang rasuah, tetapi menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Unleash Urself @ Rakan Muda (Dikir Barat) Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini malam tadi.
Ahmad Nizam berkata SPRM mahu memastikan generasi muda Malaysia dibentuk dengan nilai moral dan sahsiah tinggi agar mereka menjadi kelompok masyarakat berintegriti yang mampu memacu kemajuan negara.
"Ada yang beranggapan SPRM turun ke akar umbi kerana golongan ini mudah terdedah kepada rasuah, namun tanggapan itu tidak tepat. Belia ialah aset negara dan kita mahu mereka membesar dengan nilai integriti, kejujuran serta tidak mengambil hak orang lain.
"Langkah mendidik masyarakat melalui pendekatan pendidikan nilai ini juga selari dengan pelancaran inisiatif Keep Malaysia Clean oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Okt lepas, bersempena sambutan ulang tahun ke-58 SPRM," katanya.
Menurut beliau, matlamat jangka panjang SPRM ialah menjadikan Malaysia antara 25 negara terbaik dunia dalam CPI dengan memupuk kesedaran integriti di semua peringkat masyarakat, bermula dari akar umbi.
Sementara itu, beliau berkata program berunsur seni budaya seperti dikir barat juga dilihat sebagai medium berkesan untuk menyatukan masyarakat serta menyampaikan mesej antirasuah secara kreatif.
"SPRM bercadang untuk mengangkat seni budaya ini ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di peringkat kebangsaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami