Pas bersedia sekiranya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu memanggil mana-mana anggota parti itu bagi membantu siasatan berkaitan dana RM90 juta yang didakwa disalurkan oleh UMNO kepada parti itu, kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan oleh SPRM amat dialu-alukan dan pihak yang terlibat tidak sepatutnya berterusan mendedahkan apa sahaja maklumat yang ada pada mereka.

"Perkara ini tidak sepatutnya terjadi seperti ini dan pihak yang mempunyai bukti sepatutnya salurkan sahaja kepada SPRM untuk disiasat.

"Pihak yang mendakwa mempunyai bukti perlu menyerahkannya kepada SPRM, itulah yang lebih baik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Pasir di sini, pada Jumaat.

Katanya sekiranya masing-masing membuat dakwaan mempunyai bukti, lebih baik bawa kepada pihak berkenaan daripada dakwaan tanpa bukti.

Mengakui tidak mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai isu berkenaan, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap mengikuti perkembangan isu berkenaan melalui media.

Jelasnya, Pas Kelantan amat terbuka dalam isu ini dan pihak berkuasa khususnya SPRM boleh sahaja memanggil mana-mana anggotanya untuk membantu siasatan.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan ada penyitaan harta termasuk kenderaan mewah dan rumah kedai terhadap anggota Pas, Ahmad berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

"Setahu saya, isu berkenaan sudah dibuat penafian oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Siapa yang dinyatakan, banyak mana disita saya sendiri tiada sebarang maklumat. Apa yang saya tahu hanya Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz pernah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan," katanya..

-- BERNAMA