MALAYSIA
SPRM guna pasukan taktikal geledah kediaman Tan Sri kerana bilik rahsia simpan senjata

SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang-barang berharga termasuk senjata.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menggunakan bantuan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri kerana mengesyaki wujud bilik rahsia dalam kediaman individu tersebut.
Ringkasan AI
- SPRM menggunakan pasukan khas ACTS untuk membantu dalam penggeledahan rumah seorang individu bergelar Tan Sri di Cheras, yang disyaki menyimpan senjata dan barangan berharga berkaitan siasatan penyelewengan dana sukuk lebuh raya.
- Walaupun tiada senjata disita kerana ia berdaftar atas nama syarikat keselamatan, SPRM menyita pelbagai barangan mewah termasuk 84 beg tangan, jam berjenama, jongkong emas, berlian, barangan kemas dan set kasino mewah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16 juta.
- Proses rakaman keterangan individu tersebut ditangguhkan ke tarikh lain atas faktor kesihatan, dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.
“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya.
SPRM berkata, tiada sitaan dilakukan kerana senjata terbabit didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu berkenaan.
Dalam pada itu, SPRM berkata, dalam serbuan semalam, pihaknya menyita beberapa barangan seperti beg mewah; jam tangan berjenama; jongkong, syiling dan patung emas; berlian serta barangan kemas.
"Sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di kediaman individu merangkumi 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta; serta berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta," katanya.
Selain itu, tambahnya, satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000 juga telah disita.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan semalam berjumlah kira-kira RM16 juta. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.
Sehubungan itu, Azam memberitahu proses rakaman keterangan individu tersebut ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan individu terbabit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami